6 April 2008

Anggota UMNO perlu berani kata perkara benar

MUAR, 5 April – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, anggota parti perlu berani menyatakan perkara benar dan tidak hanya menyatakan sesuatu semata-mata untuk menyedapkan hati pemimpin, sedangkan ia adalah satu pembohongan.
Beliau berkata kalau terdapat sebarang kelemahan dalam parti, mereka harus terima dengan hati terbuka dan bersedia mengatasinya, bukan sekadar mendengar atau berdiam diri sahaja.
“Kalau ada kelemahan kita kena akui, tak boleh hanya dengar dan menyatakan semuanya baik sedangkan ia adalah satu pembohongan. Lebih baik beritahu yang benar, cakap yang betul walaupun ia pahit untuk ditelan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis kesyukuran kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum lepas yang dihadiri kira-kira 3,000 jentera BN.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, zaman telah berubah dan UMNO perlu berani melakukan perubahan tanpa mengorbankan prinsip perjuangan asal parti jika mahu terus relevan pada masa depan.
Terdahulu, beliau berkata, UMNO Johor yang bermesyuarat pagi ini bersetuju dengan cadangan penubuhan sebuah institut khas mengkaji dan menyelami perasaan pengundi sebagai usaha mengekalkan parti itu sebagai tunjang BN di negeri ini.
Beliau berkata, institut itu hendaklah dianggotai oleh pakar-pakar tertentu yang perlu digerakkan segera serta menjadi rangka pelan induk pengukuhan UMNO Johor yang akhirnya boleh membantu UMNO di negeri-negeri lain mengembalikan kekuatannya.
Berucap pada majlis itu, Muhyiddin berkata, inisiatif itu perlu dimulakan supaya kuasa kerajaan BN yang masih ada tidak hilang selepas pilihan raya umum akan datang.
“Saya takut kalau tidak dibuat sesuatu, kita terus leka berada dalam zon selesa, masih tidak sedar adanya tsunami politik di luar sana, kita akan hilang kuasa,” katanya.
– Bernama 6 April 2008

Tiada ulasan: