
Kamarulzaman Kamdias berkata, Mukhriz mampu mengetuai pergerakan itu kerana beliau bukan sahaja lantang bersuara malah sentiasa rapat dengan akar umbi.
Katanya, selain itu, Mukhriz juga memahami perasaan akar umbi malah merupakan pemimpin muda yang bertanggungjawab serta kreatif.
''Kita melihat Mukhriz agak ke hadapan dan mampu menjadi seorang ketua yang baik. Bagi saya, beliau (Mukhriz) sesuai dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mukhriz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO sebelum ini secara terbuka mengesahkan bahawa beliau akan bertanding merebut kerusi Ketua Pemuda UMNO pada Disember ini.
Selain Mukhriz, Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Ketua Penerangan Pemuda, Datuk Azimi Daim turut mengumumkan akan bertanding merebut jawatan itu.
Minggu lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan yang disandang beliau sejak dua penggal lalu pada pemilihan parti itu, Disember ini.
Menurut Hishammuddin, beliau ingin memberi laluan kepada muka baru memimpin sayap kanan yang mempunyai kira-kira 600,000 ahli itu.
Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata, orang ramai terutama pemimpin muda perlu menghormati keputusan Hishammuddin itu.
''Saya melihat keputusan Menteri Pelajaran itu sungguh telus kerana beliau mahu pemimpin seterusnya terus cemerlang memimpin pergerakan itu,'' ujarnya.
Tambahnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh seseorang Ketua Pemuda UMNO negeri itu juga perlu benar-benar mewakili suara Pemuda di peringkat bahagian dan cawangan. UM, 11/04/08.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan