9 April 2008

‘Karpal tak faham hudud’

Oleh SAFINA RAMLI
ALOR STAR 8 April – Pengerusi DAP, Karpal Singh dinasihatkan supaya tidak bercakap mengenai hukum hudud kerana beliau tidak memahaminya.
Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak berkata, Pas juga masih berbincang mengenai penubuhan negara Islam yang melibatkan banyak perkara termasuk hukum hudud dan perlu diteliti terlebih dahulu.
Beliau juga tidak faham kenapa orang ramai begitu takut dengan hukum hudud dan berfikiran sempit apabila membincangkannya.
“Saya harap dia (Karpal) jangan bercakap lagi mengenai hal ini jika dia belum benar-benar faham apa itu hukum hudud.
“Lebih banyak isu lain yang boleh dibincangkan selain daripada isu hudud ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Azizan diminta mengulas mengenai kenyataan Karpal yang tidak bersetuju dengan penubuhan negara Islam dan pengenalan hukum hudud yang menjadi ideologi asas Pas.
Dalam hubungan ini Azizan berkata, orang ramai yang tidak melakukan sebarang kesalahan tidak sepatutnya takut dengan hukum hudud.
‘‘Jika kamu tidak merompak, mencuri atau berzina, kamu tak perlu takut. Hanya mereka yang buat salah sahaja patut takut dengan hukum hudud ini,” katanya.
Menjawab satu pertanyaan, beliau berkata, negara ini bebas dan Karpal berhak untuk melawat Kelantan atau Kedah pada bila-bila masa bagi melihat keadaan sebenar negeri di bawah pemerintahan Pas.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula keberkesanan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memastikan syarikat terbabit berfungsi dengan baik.
Kata beliau, pihaknya mungkin menyusun semula kedudukan lembaga pengarah bagi syarikat-syarikat yang tidak mendatangkan keuntungan kepada kerajaan negeri.
“Dalam perniagaan kita tidak boleh lambat. Penyusunan semula ini perlu untuk memastikan syarikat memberi pulangan yang baik kepada kerajaan,” katanya. Utusan 09/04/08

Tiada ulasan: