12 April 2008

Saya antara penyebab: Pak Lah

Oleh Khirul Bahri Basaruddin dan Johan Afandi
JOHOR BAHRU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berkata, beliau adalah antara faktor yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, kerana itu beliau berasa lebih bertanggungjawab dan perlu berusaha melakukan yang sebaik-baiknya bagi memulihkan semula kekuatan BN dan parti.“Saya merasakan saya adalah penyebab kepada 'pembuangan undi' (undi tidak diberikan) kepada BN dan saya berasakan bertanggungjawab untuk membuat yang sebaiknya-baiknya bagi memulihkan semula BN dan Umno.“


Buat masa ini, yang paling penting ialah saya bertanggungjawab memulihkan semula Umno dan BN kerana masih banyak perkara yang belum ditunaikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pertemuan tertutup dengan Badan Perhubungan Umno Johor, di sini.


Abdullah juga mengulangi pendiriannya untuk tidak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dalam tempoh terdekat ini, walaupun wujud desakan supaya beliau berbuat demikian.“Saya mempunyai mandat daripada rakyat dalam pilihan raya lalu dan yakin dapat mengatasi masalah yang sedang melanda parti dan kerajaan.


Saya juga tidak akan memimpin negara serta parti selama-lamanya dan ini sudah saya jelaskan,” katanya.Perdana Menteri berkata, beliau sedar bahawa rakyat menaruh harapan tinggi kepada kerajaan pimpinannya untuk melaksanakan manifesto pilihan raya seperti memerangi rasuah, pembaikan sistem kehakiman dan perkara yang mempunyai hubung kait dengan hubungan kaum serta agama.“


Ada antara isu ini sudah mula diberikan perhatian tetapi ada juga yang belum dilaksanakan. Semua ini saya tahu dan perubahan ini tetap akan diterima pada masa depan, cuma ia mengambil sedikit masa,” katanya.


Mengenai pemilihan calon pilihan raya yang tidak diterima pada peringkat akar umbi, Abdullah berkata, prosedurnya tidak pernah berubah sejak dulu dan selain beliau, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad turut berunding menentukan senarai calon.


Secara dasarnya, kata beliau, pucuk pimpinan akan menerima senarai calon yang dikemukakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, tetapi sudah pasti ia akan tetap dibandingkan dengan laporan yang diterima.“Ya lah, jika calon berkenaan ada masalah, kita akan menukarnya dan mereka akan menentangnya dan wujud mainan politik untuk meletakkan calon yang mereka suka. Kemudian, berlakulah lobi melobi, ini merosakkan parti.“Bukan sekadar pemilihan calon, malah pengagihan kerusi juga turut timbul masalah kerana ramai yang tidak berpuas hati,” katanya.


Perdana Menteri juga berkata, beliau juga akan menemui semua kepemimpinan parti komponen BN untuk memberi penjelasan mengenai pencapaian dalam pilihan raya lalu serta mendapatkan maklum balas terus daripada mereka.


Katanya, parti komponen menghadapi masalah, terutama di Pulau Pinang apabila MCA, Gerakan serta MIC tidak mempunyai wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan langkah segera perlu diambil untuk memperbetulkan kelemahan.


--BH 12/04/08

Tiada ulasan: