29 Mei 2008

Idris letak jawatan

BESUT 28 Mei - Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh (gambar) mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri atas alasan ingin mengukuhkan perpaduan parti di negeri itu.
Menurutnya, beliau telah menyatakan hasrat tersebut kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu pertemuan di ibu negara hari ini dan Perdana Menteri menerima peletakan jawatan tersebut.
''Saya akan menghantar surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu kepada Setiausaha Agung UMNO esok," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Idris memberitahu, tindakannya itu adalah sebagai menghormati keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang memilih Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu dalam kemelut yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
Katanya, peletakan jawatannya juga sebagai menghormati kemahuan Menteri Besar sekarang selain bertujuan untuk menyelaraskan soal pentadbiran politik dan negeri.
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rosol Wahid ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini turut mengumumkan peletakan jawatannya.
Beliau berkata, peletakan jawatannya itu berkuat kuasa hari ini sejajar dengan keputusan yang dibuat oleh Idris.
Menurutnya, Idris telah berbincang dengannya mengenai hasrat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri tiga hari lalu.
Jelasnya, Idris memberi alasan peletakan jawatannya adalah kerana mahu melihat UMNO Terengganu terus bersatu padu.
''Saya cadangkan supaya beliau merujuk perkara tersebut kepada Presiden UMNO.
''Selepas hasrat Idris itu diterima oleh Perdana Menteri, saya juga mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri," ujarnya.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil itu, pelantikan beliau ke jawatan itu dibuat oleh bekas Menteri Besar itu. Sehubungan itu sudah sewajarnya beliau mengambil tindakan yang sama seperti diambil Idris.
Sebelum ini, Idris yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sejak 2004 itu menyatakan tidak akan meletakkan jawatan tersebut walaupun tindakan itu boleh menyebabkan kebuntuan politik di Terengganu.
Katanya, beliau menerima Datuk Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu yang mempunyai para penyokongnya sendiri tetapi Idris juga mendapat sokongan besar ahli-ahli kerana berjaya memimpin UMNO Terengganu memenangi Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008.
Beliau mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Nasir Ibrahim Fikri bahawa UMNO Terengganu kini berpecah dua dengan satu kumpulan menyokong Idris, manakala kumpulan yang lain menyokong Ahmad sehingga menimbulkan kekeliruan di negeri ini.
Ahmad pula sebelum ini, menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri jika dilantik ke jawatan itu oleh pucuk pimpinan parti kerana sudah menjadi tradisi jawatan itu dipegang oleh Menteri Besar.
- UM, 29/05/08.

Tiada ulasan: