18 Mei 2008

Insentif: Selangor dalih lagi

Oleh ZABRY MOHAMAD
SHAH ALAM 17 Mei - Insentif pelajaran RM1,000 untuk anak-anak Selangor yang memulakan pengajian di peringkat diploma dan ijazah pada tahun ini akan dihadkan kepada golongan miskin berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan sahaja.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, insentif itu tidak dapat diberikan kepada setiap anak negeri pada tahun ini seperti janji dalam manifesto pilihan raya kerana kekurangan peruntukan.
"Belanjawan bagi tahun ini sudah banyak dipakai dan tidak banyak baki yang tinggal. Kita akan rangka rancangan kewangan bagi tahun depan supaya janji-janji negara berkebajikan yang telah kita buat semasa pilihan raya umum dapat dipenuhi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini, hari ini.
Pemberian insentif atau hadiah sebanyak RM1,000 kepada setiap pelajar negeri itu yang berjaya melanjutkan pengajian di IPT merupakan antara kandungan manifesto Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.
Dianggarkan seramai 20,000 anak Selangor berjaya melanjutkan ke IPT setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali baru-baru ini memaklumkan bahawa pemberian insentif tersebut masih diteliti dan ditawarkan kepada calon yang mendapat tempat bagi kursus ijazah sarjana muda sahaja.
Menurut Abdul Khalid, mereka yang berhasrat untuk memohon insentif RM1,000 supaya mendapat pengesahan pendapatan keluarga daripada pegawai daerah atau wakil rakyat di kawasan masing-masing terlebih dahulu.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri juga sedang menyediakan prosedur bagaimana orang ramai boleh memohon insentif yang terbuka kepada semua kaum dan kursus di peringkat diploma dan ijazah itu.
- MM, 18/05/08

1 ulasan:

demimaruah berkata...

Duit dah ada, kan Selangor Negeri Maju dah, takan dah miskin bila PKR ambil alih, nampak sangat tak pandai tadbir negeri. Ke nak kumpul buat beli YB dari BN!