12 Mei 2008

UMNO belum pudar - Najib

Oleh ARSHAD KHAN
KUALA LUMPUR 11 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan ucapan Presiden UMNO pada Sambutan Ulang Tahun ke-62 parti itu mencerminkan dengan jelas bahawa parti tersebut belum pudar atau hilang pengaruhnya di negara ini.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata, parti keramat orang Melayu itu masih relevan dalam senario politik dan menjadi penentu hala tuju negara ini.
"Ini pengertian yang lebih daripada biasa kerana kita hendak menegaskan bahawa UMNO adalah parti yang masih relevan serta penentu untung nasib serta masa depan rakyat Malaysia," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-62 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau menambah, ucapan Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan secara terperinci wadah penting perjuangan Melayu masa kini dan bagaimana UMNO perlu bergerak dalam kerajaan.
Mengenai pengumuman penting bagi membantu meringankan beban rakyat esok seperti disentuh Abdullah dalam ucapannya, Najib berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk melakukan segala-galanya dalam melindungi kepentingan rakyat.
"Kita akan buat sesuatu untuk kekang kenaikan harga barangan atau inflasi kepada rakyat tetapi ia juga tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan," katanya.

-- UM, 12/05/08

Tiada ulasan: