17 Ogos 2008

2 jurugambar kena pukul

BUKIT MERTAJAM: Baru masuk hari pertama berkempen, pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dicemari kejadian tidak diingini apabila dua jurugambar termasuk seorang jurugambar agensi berita asing dipukul ketika menjalankan tugas.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, jurugambar The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Mohd Sairien Nafis, 26, cedera di pinggang manakala kameranya bernilai kira-kira RM15,000 dirampas penyokong pembangkang, berdekatan pusat penamaan calon di Dewan Institut Perguruan Tunku Bainun di sini.


Mohd Sairien berkata, dia dalam perjalanan pulang ke hotel ketika penyokong pembangkang yang membawa bendera menyekat dan memukul penyokong Barisan Nasional (BN) yang menaiki pikap.


"Mereka mengeluarkan kata-kata kesat selain mengganggu pergerakan kenderaan di situ, khususnya yang dinaiki petugas BN," katanya. Bagi mendapatkan sudut gambar terbaik, dia naik ke bahagian belakang pikap berkenaan dan mula merakamkan gambar kejadian itu. Bagaimanapun, katanya, tiba-tiba lebih 30 lelaki yang memakai baju t Parti Keadilan Rakyat (PKR) menariknya sehingga terjatuh dari pacuan empat roda itu.


Mereka mengheret saya kira-kira 15 meter sebelum ditumbuk, terajang dan sepak di kepala, kaki, tangan dan badan, katanya.


Kejadian itu berlaku kira-kira 10 minit sebelum dia dibantu jurugambar agensi berita asing, Halim Berbar yang turut dipukul. Kedua-dua mereka berjaya diselamatkan oleh polis yang menyedari kejadian itu.Ketika dibelasah, katanya, dia cuba menyelamatkan kamera dan kad memori yang mengandungi gambar yang diambil ketika proses penamaan calon sebelumnya, tetapi dilarikan lelaki berkenaan.


Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak yang ditanya mengenai kejadian itu kesal sikap penyokong pembangkang itu dan meminta kedua-dua jurugambar itu membuat laporan polis. Perkara ini tidak patut dan ini menunjukkan ada sekumpulan dalam parti pembangkang yang menggunakan cara bertentangan dengan undang-undang dan menggunakan taktik untuk menakutkan pihak lain, katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera keselamatan Barisan Nasional di Jalan Tanah Liat di sini, semalam.


Saya minta pihak berkuasa ambil apa-apa tindakan yang patut untuk pastikan kejadian ini tidak berulang, katanya.


Najib, yang juga pengarah pilihan raya BN, berkata tindakan ini menggambarkan mereka terlalu ghairah hendak menang dan tidak mempedulikan undang-undang.“Harap kejadian ini tidak berlaku lagi kerana cara begini akan menyebabkan penyokong kita (BN) akan menjadi tegang dan bertindak balas, katanya.


Malah, Timbalan Pengerusi BN itu berkata, pada penamaan calon pagi semalam, penyokong pembangkang memang bertempik dan bersorak dan perbuatan itu tidak menunjukkan kematangan berdemokrasi. Ditanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan amaran kepada penyokong parti pembangkang supaya tidak bertindak ganas, beliau berkata: Mereka bukan dengarpun cakap kerajaan.


Mereka buat apa yang mereka suka. Mengenai kesan kepada pemberita asing yang sedang membuat liputan pilihan raya kecil itu, Najib berkata: Mereka akan membuat liputan dan akan memberi gambaran buruk terhadap sebahagian daripada rakyat Malaysia yang tidak mengamalkan amalan demokrasi.

Tiada ulasan: