19 Ogos 2008

Dato’ Arif Shah Omar Shah

Dato’ Ariff Shah, 52, berharap tuah akan berpihak kepadanya pada pilihan raya kecil 26 Ogos ini. Beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Seberang Jaya pada pilihan raya umum ke-12 lalu dengan majoriti 533 undi, yakin pengundi Permatang Pauh akan membuat pilihan bijak.
Katanya, berdasarkan pemerhatian dan suara akar umbi, penduduk tempatan begitu kecewa kerana tiada satu pun pembangunan yang dibawa ke kawasan itu selepas tiga penggal berada di bawah PKR.
“Permatang Pauh memerlukan seorang wakil rakyat yang boleh berada di kawasan setiap masa dan memberi khidmat terbaik untuk penduduk,” katanya.
Parlimen Permatang Pauh turut meliputi DUN Permatang Pasir (diwakili oleh Pas) dan DUN Penanti (PKR).
Dato’ Arif Shah Omar Shah dilahirkan pada 21 November 1956 dan merupakan anak keempat daripada keseluruhan 10 orang adik beradik.
Beliau menerima pendidikan awal di SRJK(C) Hun Lian, Taiping, Perak dan disusuli dengan sambungan sekolah rendah di SRJK(C) Chong Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu, SMJK(C) Chong Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu dan di Chong Hwa High School, Gombak, Kuala Lumpur disebabkan tugas ayahnya, anak jati Pulau Pinang sebagai usahawan.
Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Awam dan mengikuti pengajian khas di Graber International, California, USA.
Antara jawatan-jawatan politik yang pernah disandang oleh beliau adalah seperti Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh; Bendahari Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang; Naib Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Permatang Pauh.
Di samping bergiat aktif dalam arena politik beliau juga turut terlibat di dalam kegiatan-kegiatan NGO seperti penaung PDK Seberang Jaya.
Sebagai ADUN, beliau mewujudkan pusat khidmat yang satu-satunya mendapat Persijilan ISO 9001 2000 dengan mewujudkan sekretariat-sekretariat tertentu, antaranya seperti Sekretariat Permasalahan Rakyat; Sekretariat Sumber Manusia; Sekretariat Kebajikan; Sekretariat Keselamatan; Sekretariat Hal Ehwal Cina; Sekretariat Hal Ehwal India; Unit Agama Islam dan Qariah dan Unit Perhubungan Awam dan lain.
‘Yang Tiada Kita Bangunkan, Yang Ada Kita Pertingkatkan, Yang Beban Kita Ringankan’ menjadi motto khidmat beliau selama ini.
- Puteri UMNO online

Tiada ulasan: