18 Ogos 2008

Jangan bertindak keterlaluan

Oleh ASSIM HASSAN
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini memberi amaran kepada penyokong parti agar tidak bertindak keterlaluan dalam tempoh kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Tegasnya, setiap penyokong perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan oleh pihak polis agar ketenteraman dan keselamatan orang awam terjamin.
''Jika penyokong setiap parti mematuhi syarat yang ditetapkan, maka insiden yang tidak diingini dan kekecohan dapat dihindari dalam masa berkempen," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, seorang jurugambar akhbar New Straits Times, Mohamed Sairen Mohamed Nahfis, 26, dan Halim Berbar, 28, dari HBL Press News, Perancis, bukan sahaja teruk dipukul malah Mohamed Sairen kehilangan kameranya yang dirampas sekumpulan penyokong dipercayai parti pembangkang.
Kejadian itu berlaku sejurus selepas berakhir proses penamaan calon dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak mengepung dan menyerang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki oleh penyokong Barisan Nasional (BN).
Mohamed Sairen yang cuba merakamkan insiden tersebut dari atas kenderaan berkenaan kemudiannya turut diserang.
Pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah, 52, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 61, daripada PKR dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Mamat, 51.
Ismail memberitahu, setakat ini, pihaknya masih belum menangkap individu yang disyaki terlibat dalam insiden tersebut kerana siasatan untuk mengesan suspek masih dilakukan.
''Kita tidak tahu individu mana yang melakukannya dan penyokong daripada parti mana. Oleh itu, biar polis menjalankan siasatan dulu," jelasnya.
- Utusan, 18-08-08.

Tiada ulasan: