18 Ogos 2008

Keganasan terhadap media cemar kematangan politik

Oleh Manja Ismailmanja@nstp.com.my
Dua kejadian membelasah jurugambar di Pulau Pinang bercanggah dengan keterbukaan pembangkangSUASANA politik negara yang sepatutnya mencerminkan kematangan apabila Pakatan Rakyat mencatatkan kemenangan besar pada pilihan raya umum Mac lalu ternyata masih jauh untuk menjadi kenyataan.
Selepas memenangi lima negeri dan berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat, ramai mengharapkan suasana politik negara lebih matang, ceria dan terbuka seperti yang berlaku pada pilihan raya di negara maju.
Bibit-bibit keterbukaan itu dapat dilihat melalui ruang yang semakin luas disediakan oleh media arus perdana sama ada media cetak atau media elektronik termasuk milik kerajaan, kepada parti-parti pembangkang.
Pemimpin parti pembangkang dilihat lebih kerap muncul menyatakan pandangan di televisyen serta berkongsi pentas dengan pemimpin kerajaan dan BN berdebat secara terbuka mengenai isu-isu semasa yang membabitkan kepentingan rakyat. Malah, RTM sendiri turut menyiarkan siaran secara langsung sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat setiap hari.
Semua ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan sebahagian besar rakyat terutama yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, melihat perkembangan ini sebagai era baru yang mencerminkan kematangan berpolitik di negara ini serta selari dengan wawasan untuk Malaysia muncul sebagai negara maju pada 2020.
Bagaimanapun, apa yang berlaku pada pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya umum bersejarah Mac lalu di penamaan calon kerusi Parlimen Permatang Pauh kelmarin adalah sebaliknya. Keceriaan dan pertandingan secara gentlemen seperti diharapkan bertukar menjadi keganasan. Lebih malang lagi, apabila sasarannya ialah wakil media yang melaksanakan tugas mereka untuk membuat laporan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Apa yang menimpa jurugambar NSTP, Mohd Sairien Nafis dan jurugambar HBL Press News, Perancis, Halim Berbar kelmarin langsung tidak mencerminkan keterbukaan dan keadilan, antara slogan yang sering kali dilaungkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat.
Mohd Sairien bukan saja dipukul dan dipijak seperti yang dapat disaksikan menerusi televisyen malam kelmarin, malah kameranya dirosak dan dilarikan. Halim yang cuba menyabarkan kumpulan itu turut dibelasah.
Walaupun pemimpin mereka tidak terbabit dalam kejadian itu, malah mungkin turut menyesali dengan apa yang berlaku, kerana ia dilakukan oleh kumpulan yang membawa bendera dan sepanduk parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat, gabungan itu turut bertanggungjawab.
Peristiwa itu juga tidak lagi boleh dianggap sebagai kejadian terpencil kerana ia adalah kes kedua berlaku dalam tempoh dua minggu membabitkan jurugambar dikasari oleh penyokong Pakatan Rakyat. Pada malam 3 Ogos lalu, jurugambar akhbar Guang Ming Daily, Loh Hoay Hoon, cedera ringan di kepala akibat dipukul oleh sekumpulan lelaki ketika pulang selepas membuat liputan ceramah umum Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tapak Ekspo Seberang Jaya.
Jurugambar wanita itu, dalam laporan polis keesokannya mendakwa, ketika berjalan dari tapak ekspo kira-kira 11.30 malam, dia berasa kakinya ditendang beberapa kali sebelum lehernya ditarik dari belakang sehingga terjatuh dan kepalanya diketuk.
Ekoran kejadian itu, Setiausaha Badan Perhubungan PKR Pulau Pinang, Abdul Malik Abdul Kassim memohon maaf kepada media dan berjanji akan menyiasat serta mengambil tindakan jika terbukti kumpulan itu ahli PKR.
Angkatan Muda PKR Pulau Pinang, walaupun menafikan unit keselamatannya terbabit dalam serangan terhadap Loh, menjelaskan petugasnya telah diberi taklimat supaya memberi ruang dan kerjasama kepada wakil media yang membuat liputan program PKR di negeri itu.
Kekasaran terhadap wartawan oleh penyokong parti politik bukan perkara baru dan ia juga pernah membabitkan parti komponen BN.
Memang wartawan dan media sentiasa menjadi sasaran atau menjadi kambing hitam parti-parti politik apabila ada laporan yang dilihat tidak menyebelahi atau menguntungkan politik mereka. Cuma kebanyakan kes yang membabitkan wartawan dikasari sebelum ini lebih mudah difahami. Antaranya kerana wartawan itu terlalu provokatif, media yang diwakilinya terlalu berat sebelah dan parti politik di mana penyokongnya dikatakan terbabit, bertaraf pembangkang di sesebuah negeri.
Namun, dua kes terbaru ini berlaku di Pulau Pinang, negeri dikuasai oleh Pakatan Rakyat, dikasari secara berkumpulan dan mangsanya pula ialah jurugambar yang mungkin tidak diketahui mewakili media tertentu oleh si penyerang.
Secara kebetulan pula, penyerangnya dikatakan sebagai penyokong Anwar, tokoh politik yang menjadikan keterbukaan, keadilan dan kebijaksanaan sebagai asas perjuangan.
Dua kes yang menimpa petugas media di Pulau Pinang itu diharap tidak berterusan terutama dalam tempoh kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh yang semakin sengit sekarang. Pemimpin dan petugas parti-parti politik diharap dapat mengawal penyokong mereka supaya tidak mengganggu media melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Fenomena hubungan cinta benci antara media dengan ahli politik ini bukan saja berlaku di negara ini tetapi di seluruh dunia termasuk di negara yang menganggap mereka sebagai juara demokrasi.
Bagaimanapun selagi kebencian itu tidak membabitkan keganasan sehingga ia menimbulkan kecederaan dan mengancam keselamatan nyawa, media dapat menerimanya sebagai salah satu cabaran kerjaya.
- BH, 18-08-08

Tiada ulasan: