21 Ogos 2008

Kes jurufoto: Pemimpin PKR antara 3 ditahan

BUKIT MERTAJAM 20 Ogos – Tiga lelaki termasuk Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Batu, Kuala Lumpur ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes dua jurugambar yang dipukul semasa membuat liputan penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh, Sabtu lalu.
Ketiga-tiga mereka yang berusia 28 hingga 40 tahun ditahan di tiga lokasi berasingan iaitu di Permatang Pauh, Selayang serta Sentul, Kuala Lumpur pada semalam dan hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin yang mengesahkan penahanan itu berkata, polis telah mengesan lebih daripada 10 suspek yang terlibat dalam insiden tersebut.
“Saya berharap mereka akan datang menyerah diri secepat mungkin bagi membantu siasatan dan sekiranya mereka gagal berbuat demikian, kami (polis) terpaksa mengambil tindakan ke atas mereka,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan memberitahu, salah seorang suspek berusia 39 tahun ditahan setelah dia menyerah diri pada pukul 1.45 petang hari ini.
Pegawai Perhubungan Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Supritendan Shaharon Anuar Abdul Latif pula berkata, dua suspek lagi termasuk pemimpin PKR itu ditahan sejurus menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan Balai Polis Kubang Semang.
Katanya, seorang lagi lelaki yang berasal dari Sungai Tiram, Bayan Lepas ditangkap di Kubang Semang, Pulau Pinang. Polis telah pun mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk menahan reman lelaki itu sehingga lusa.
Beliau memberitahu, seorang lelaki penduduk tempatan yang dipercayai melarikan diri telah ditahan di Selayang awal pagi ini kerana turut disyaki terlibat dalam insiden tersebut.
“Suspek yang ditahan di Selayang dan Sentul akan dibawa ke sini untuk mendapatkan perintah reman supaya siasatan lanjut dapat dilakukan secara terperinci,” katanya.
Semalam, akhbar-akhbar menyiarkan beberapa gambar suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden dua jurugambar dipukul di Permatang Pauh.
Kesemua mereka, kata Shaharon, disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
- Utusan, 21-08-08

Tiada ulasan: