28 Ogos 2008

Terengganu Bina Pusat Sains Negeri Bernilai RM45 Juta

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos (Bernama) -- Sebuah Pusat Sains Negeri, bernilai kira-kira RM45 juta dibina di Kubang Ikan, Cendering di sini, dalam usaha untuk meningkatkan penguasaan bidang berkenaan di kalangan rakyat negeri itu.
Pengarah Urusan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Dr Mohd Zaki Mohd Said berkata pusat itu, yang akan memberi lebih tumpuan kepada sains Islam, sedang dibina di kawasan seluas lapan hektar.
"Pusat sains ini dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Seminar Penghayatan Astronomi/Falak Terengganu 2008 di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) di sini Rabu.
Sementara itu, Dr Mohd Zaki berkata Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu dengan kerjasama Petronas akan menganjurkan Program Tunas Saintis di kalangan pelajar pra sekolah bagi mendedahkan mereka dalam bidang sains.
Beliau berkata Petronas telah memberikan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk menganjurkan program itu yang akan diadakan tahun ini.
Seminar sehari yang dihadiri imam, mubaligh dan kakitangan kerajaan itu dianjurkan bersama JHEAT, Jabatan Mufti Negeri dan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu.
-- BERNAMA

1 ulasan:

demimaruah berkata...

CAKAP TAK SERUPA BIKIN... YAB Menteri Besar Di Raja berulang kali kerajaan negeri tak akan laksanakan projek MEGA, RM45 juta ni kira ciput lah eks!