30 Oktober 2008

Debat Terbuka Hanya Beri Peluang Pembangkang Manipulasi Umno, Kata Mukhriz

ALOR STAR, 28 Okt (Bernama) -- Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata debat terbuka bagi calon yang bertanding jawatan dalam parti itu hanya mendedahkan soal dalaman parti kepada umum yang akan dimanipulasi oleh pembangkang.
Katanya perdebatan terbuka ala-Amerika hanya untuk pemilihan dalaman parti tidak sesuai pada masa pencalonan berjalan lancar dan perwakilan telah mengenali rapat calon-calon yang menawarkan diri bertanding.
"Tidak guna bercakap tentang misi, visi dan rancangan masa depan jika soal rasuah politik yang lebih penting terus berleluasa," katanya ketika diminta mengulas cadangan Naib Ketua Pemuda yang juga calon Ketua Pergerakan itu, Khairy Jamaluddin supaya diadakan debat terbuka di kalangan calon yang akan bertanding jawatan tersebut.
Khairy ketika membuat cadangan itu baru-baru ini berkata Umno perlukan satu forum apabila menjadi parti terbuka supaya setiap calon dapat menampilkan diri kepada seluruh rakyat Malaysia dan cadangan itu disokong seorang lagi calon jawatan itu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tetapi ditolak Mukhriz.
Mukhriz yang ditemui pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri KEMAS Jerlun di Jerlun, 30 km dari sini, hari ini, berkata pembangkang pasti mengambil kesempatan memanipulasi perdebatan itu dan ia akan memberi kesan kepada Umno pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) kelak.
Mukhriz juga ingin tahu pandangan calon-calon yang menawarkan diri bertanding mengenai rasuah politik dan cadangan mereka bagi membanterasnya sebelum bercakap mengenai perdebatan terbuka.Beliau yang juga anggota Parlimen Jerlun berkata jika ada calon yang ingin meneruskan perdebatan itu beliau tidak akan menghalangnya.
"Perkara pokok ialah setiap calon bukan sekadar pandai bercakap tetapi mesti ada ciri-ciri penting iaitu sifat jujur, amanah, sanggup berkorban untuk rakyat, berwawasan dan bercakap benar," katanya.
Beliau yakin perwakilan akan menimbangkan perkara ini untuk memilih calon Ketua Pemuda pada pemilihan Umno Mac tahun depan.
"Apa yang hendak dibuat mulai sekarang hingga Mac tahun depan mestilah ada unsur yang boleh mengukuhkan parti dan saya yakin debat ini akan menyebabkan sebaliknya," kata Mukhriz.
Sementara itu, Mukhriz berkata beliau bimbang dengan laporan, khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengugut dan menyampaikan berita tidak tepat, fitnah dan salahguna kuasa kerna melanggar hak demokrasi ahli.
Bagaimanapun tindakbalas perwakilan peringkat bawah sekarang yang berani bersuara dan enggan menerima arahan bahagian adalah perkembangan positif menandakan kebijaksanaan dan 'keagungan' perwakilan, katanya.
Mengenai pencalonan yang diterimanya, Mukhriz berkata perkembangan terkini yang meletakannya sebagai calon pilihan bukan kelebihan kerana pencalonan terbanyak belum menjamin akan menerima undi terbanyak.
Beliau menjangka rentak pencalonan terhadapnya akan perlahan pada minggu akan datang dan beralih kepada dua lagi calon iaitu Khairy dan Mohamad Khir.

-- BERNAMA, 30/10/08.

Tiada ulasan: