18 Oktober 2008

'Henti persoal hak Melayu'

Oleh HERMAN HAMID
KUALA LUMPUR 17 Okt. - Pergerakan Pemuda UMNO menyeru semua pihak memberi perhatian serius terhadap peringatan raja-raja Melayu supaya tidak mempersoalkan asas kenegaraan dan kemakmuran yang dinikmati selama ini.
Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebab itu Pemuda UMNO mahu jangan ada lagi pada masa depan, suara-suara yang mempertikai perkara yang telah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan berhubung institusi raja, hak keistimewaan Melayu, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu.
"Kenyataan (raja-raja Melayu) itu membuktikan tahap keseriusan suasana yang berlaku hari ini boleh menjurus kepada sesuatu yang boleh mengancam kedudukan negara jika tidak dihentikan," katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan akhbar khas raja-raja Melayu mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan akhbar khas itu dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah semalam.
Sementara itu Hishammuddin berharap tidak ada mana-mana pihak menyalah anggap kenyataan raja-raja Melayu itu dan mengaitkannya dengan agenda atau kepentingan kaum-kaum tertentu saja.
Kata beliau, sebaliknya peringatan yang penting ini sememangnya perlu diberi perhatian oleh semua rakyat negara ini supaya Malaysia sentiasa berada pada landasan keamanan dan keharmonian sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.
Katanya, selain itu secara tidak langsung kenyataan itu juga mengingatkan pihak atau individu yang cauvinis, berkepentingan peribadi dan mahukan populariti supaya berhenti daripada menodai keharmonian dan asas kenegaraan.
"Berhentilah daripada mengkhianati kalau mahu terus hidup bersama dan nikmati keharmonian yang ada. Elakkanlah pergeseran dan pertelingkahan, khususnya hal ehwal berkaitan mana-mana sentimen kaum dan agama.
"Kita sudah tiada masa untuk cauvinisme dan populariti. Malaysia perlu terus mengorak langkah maju dan meredah pelbagai cabaran domestik dan global," jelasnya.
Dalam pada itu Hishammuddin berkata, kenyataan khas itu juga merupakan tanda kasih dan sayang serta keprihatinan raja-raja Melayu untuk melihat rakyat negara ini hidup dalam keadaan aman dan makmur.
Kata beliau, sememangnya juga peranan raja-raja selama ini telah membuktikan pengorbanan, jasa, legasi dan kedaulatan kesultanan Melayu dalam apa jua keadaan tetap memberi makna yang besar kepada negara.
"Kenyataan dan pendirian ini sememangnya dinantikan dan saya amat bersyukur kerana saya yakin institusi raja-raja adalah kekuatan negara kita di mana ia bukan hanya melindungi orang-orang Melayu sahaja, malah memayungi rakyat Malaysia keseluruhannya.
"Saya percaya rakyat Malaysia juga amat berbangga dan berterima kasih dengan peringatan yang dibuat kerana ia mencerminkan bahawa yang sedang kita pertahankan adalah institusi raja-raja sebagai lambang perpaduan di negara ini dan bukan kepada mana-mana individu atau kumpulan," ujarnya.
- Utusan, 18/10/08.

Tiada ulasan: