28 Oktober 2008

Pas jumpa MB bincang isu pengurus besar PKNS

SHAH ALAM: Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali hari ini mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membincangkan isu pemilihan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berikutan persaraan Datuk Harun Salim, hujung bulan ini.
Kekosongan jawatan Pengurus Besar PKNS menimbulkan kontroversi apabila semalam Abdul Khalid mengumumkan pelantikan Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun PKNS, Low Siew Moi memangku jawatan itu selama setahun.
Hari ini, wakil pegawai dan kakitangan PKNS yang diketuai Presiden Persatuan Pegawai Kanan PKNS ,Idris Ishak juga menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Besar mengenai pemangkuan jawatan itu oleh Low.
Pada sidang media selepas pertemuan itu, Dr Hasan berkata Menteri Besar menyatakan kesediaan memendekkan tempoh pemangkuan Low jika Pas mampu mendapatkan calon pengganti pengurus besar yang berkaliber, profesional dan mempunyai pengalaman mengendalikan organisasi bersaiz seperti PKNS.
Pas juga berbincang dengan Abdul Khalid mengenai kenapa dua pegawai paling kanan PKNS iaitu Timbalan Pengurus Besar Pentadbiran, Md Nasir Md Arshad dan Timbalan Pengurus Besar Teknikal, Abdul Ghani Hassan tidak dipertimbangkan untuk mengisi jawatan itu.
Beliau berkata Abdul Khalid menjelaskan pemilihan Low kerana profesionalisme dan keupayaan mentadbir yang ditunjukkannya di dalam PKNS.
Bagaimanapun, Dr Hasan berkata Pas mahukan pemilihan dibuat daripada kalangan orang kanan dalam PKNS atau bakat luar untuk mengisi jawatan itu.
Sehubungan itu, katanya Pas Selangor akan bermesyuarat bagi memilih calon yang sesuai untuk diketengahkan untuk mengisi jawatan itu dan menurutnya setakat ini parti itu sudah mempunyai dua calon untuk mengisi jawatan itu.
Dr Hasan tidak menolak jika calon itu adalah orang politik dan menurutnya apa yang penting ialah calon itu bersikap profesional dan dapat menjalankan tugas dengan baik.
Ditanya mengapa Pas membantah pelantikan Low, Dr Hasan berkata parti itu berpendapat Md Nasir dan Abdul Ghani lebih layak dipertimbangkan kerana mereka sudah lebih 30 tahun berkhidmat dan menyumbang kepada PKNS.
- Bernama, 28/10/08.

1 ulasan:

demimaruah berkata...

Wahai Hassan Ali, takan awak tak boleh pikir kenapa MB lantik itu cina memangku jawatan orang no. 1 di PKNS? Awak ingat kerajaan Selangor di perintah oleh PKR ke? Lu pikir lah sendiri... Lu kena bikin Qiamulail macam dulu-dulu rasanya.