9 Januari 2009

Exco Perak mula guna Camry ganti Perdana V6

09/01/2009 5:52pm
IPOH 9 Jan. — Anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak hari ini mula menggunakan kereta Toyota Camry 2.4 berwarna hitam menggantikan kereta nasional Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pembelian sejumlah 16 kenderaan berkenaan bernilai kira-kira RM2.56 juta dibuat secara tender terbuka oleh jabatan tender kerajaan negeri.
“Pada hari ini kita terima sembilan buah yang akan digunakan oleh Exco dan pegawai kanan. Baki kenderaan tujuh lagi akan dibekalkan secara berperingkat berdasarkan stok yang ada,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini pelbagai kritikan dibuat oleh pelbagai pihak kerana tidak mahu kerajaan negeri membazirkan wang rakyat bagi pembelian kenderaan itu berikutan pimpinan utama negeri yang diterajui parti DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini meuar-uarkan penjimatan wang dan ingin menjadikan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
Terdahulu, seawal 10 pagi tadi kereta Toyota Camry yang pertama dilihat memasuki bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini dengan nombor pendaftaran AFD 33 dan disusuli yang lainnya dibawa masuk secara berperingkat oleh pengedar UMW Toyota ke kawasan letak kereta berbumbung di bangunan berkenaan.
- Bernama, 09/01/09

Tiada ulasan: