15 Januari 2009

Taksub dengan Pas tidak bertegur 22 tahun

Oleh ADNAN MOHAMAD
KUALA TERENGGANU 14 Jan. - Akibat terlalu taksub dengan perjuangan Pas, seorang bekas ahli parti itu tidak bertegur sapa dengan rakan-rakannya yang menyertai UMNO selama 22 tahun kerana menganggap mereka kafir.
Menurut Wan Ahmad Wan Mohamad, beliau mengambil tindakan demikian kerana terpengaruh dengan 'fatwa' yang dikeluarkan pemimpin parti itu.
Bagaimanapun kata bekas Ketua Pemuda Pas Besut itu, selepas melihat pemimpin Pas sendiri tidak melaksanakan apa yang mereka katakan, menyebabkan dia tawar hati lalu keluar dari parti itu pada tahun 2000.
''Pemimpin Pas sekarang tidak segan atau tiada masalah pun berdamping serta bergaul dengan kaum Cina sedangkan dahulu Pas kata UMNO parti kafir kerana bercampur dengan kaum Cina dan India ," katanya.
Wan Ahmad merupakan seorang daripada penceramah pada 'Perhimpunan Masihkah Kau Ingat' yang dianjurkan Barisan Nasional (BN) di Pasar Chabang Tiga di sini semalam.
Penceramah lain termasuk bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Ustaz Omar Khalid dan bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Abu Bakar Abdul Ghani.
Hujan lebat tidak menghalang lebih 4,000 orang menghadiri program itu yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.
Menurut Wan Ahmad, tindakan pemimpin Pas itu menunjukkan mereka hanya pandai bermain kata-kata dengan menggunakan tipu daya bagi menarik orang ramai menyokong perjuangan pembangkang.
Pada majlis itu, orang ramai turut menyaksikan tayangan video yang mengimbas tindak-tanduk Pas semasa menerajui Terengganu dari 1999 hingga 2004.
Ia termasuk tindakan Pas mengunci balai raya dan Kelas Tabika Kemas untuk menghalang daripada digunakan oleh kanak-kanak.
- Utusan, 15/01/09.

Tiada ulasan: