8 Februari 2009

'Kami akan berlumba masuk pejabat'

Kereta Camry ini akan digunakan oleh Mohd. Nizar untuk 'berlumba' dengan Dr Zambry ke pejabat Menteri Besar besok (Isnin).
*****
IPOH: "Saya biasanya datang awal (ke pejabat) .... kami (jika Datuk Dr Zambry Abdul Kadir datang pada masa sama) akan berlumba-lumba siapa yang masuk dulu," kata Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang masih menganggap dirinya Menteri Besar Perak.
Katanya, beliau akan datang ke pejabat seperti biasa Selasa depan dan terus mendiami kediaman rasmi Menteri Besar bersama keluarganya.“
Kita mahu perisytiharan mahkamah bahawa kerajaan ini (Pakatan Rakyat) adalah sah dan jika mahkamah memutuskan sebaliknya, kami akan akur, katanya yang sehingga kini masih enggan mengiktiraf Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang baru.
Mohammad Nizar berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan apa yang dipanggilnya Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri’di kediaman rasmi Menteri Besar di sini, bermula jam 11.15 pagi dan berakhir kira-kira jam 12.40 tengah hari.
Pakatan Rakyat sehingga semalam masih menganggap mereka memerintah Perak, walaupun Zambry sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baru di depan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, kelmarin.Bagaimanapun, mesyuarat yang diadakan itu tanpa kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim; Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Pegawai Kewangan Negeri, Jamalludin Al Amini Ahmad, selain tidak merujuk kepada Sultan Perak seperti kebiasaan mesyuarat Exco kerajaan negeri.
Dua bekas Exco yang kini menjadi Adun Bebas, Jamaluddin Mohd Radzi dan Osman Mohd Jailu, juga tidak hadir.Mohammad Nizar berkata, mesyuarat berkenaan tidak perlu merujuk kepada Sultan Perak terlebih dulu kerana ia adalah mesyuarat khas, manakala kehadiran pegawai kanan negeri juga tidak perlu kerana mereka bersifat pemerhati atau ex-officio’iaitu tidak boleh mengundi dan membuat keputusan.
Ditanya mengenai kesahihan mesyuarat itu, beliau mendakwa ia sah dan segala keputusan yang dibuat dalam mesyuarat berkenaan perlu dilaksanakan oleh agensi kerajaan berkaitan sambil menegaskan tidak mengiktiraf kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Dr Zambry.
Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Perak berkata, pada mesyuarat itu pihaknya meluluskan empat dasar yang perlu dilaksanakan oleh agensi kerajaan negeri iaitu meluluskan pemanjangan tempoh pajakan tanah industri daripada 30 dan 60 tahun sekarang kepada 99 tahun.Kedua, meluluskan peruntukan RM2.7 juta setahun kepada syarikat penerbangan tambang murah, Firefly, supaya mengadakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) ke Singapura dan Kuala Lumpur bermula 15 Mei ini, untuk mengaktifkan semula lapangan terbang berkenaan.
Ketiga, meminta semua 342 Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dipilih Pakatan Rakyat meneruskan majlis angkat sumpah seperti biasa serta meneruskan tugas rasmi mereka seperti sebelum ini dan keempat, memperuntukkan RM1 juta untuk program Kifalah iaitu sumbangan RM1,000 bagi kos dan urusan pengebumian warga negeri ini yang berusia 65 tahun ke atas dan miskin.
Beliau berkata, minit mesyuarat berkenaan akan diserahkan kepada agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) untuk pelaksanaan segera.
Ditanya adakah dasar itu boleh dilaksanakan, Mohammad Nizar berkata: Jabatan kerajaan perlu akur kepada dasar kerajaan yang ada... sebagai agensi bertanggungjawab, saya yakin mereka akan melaksanakan dasar itu.
- BH, 08/02/09.

Tiada ulasan: