7 Februari 2009

Mohammad Nizar buat kecoh dalam pejabat MB

Oleh Ahmad Zaini Kamaruzaman, Ridzuan Yop, Shamsul Kamal Amaruddin, Jalal Ali Abdul Rahim, Mohd Feroz Abu Bakar dan Nurhayati Abllah
bhnews@bharian.com.my
Pengawal peribadi tengking Setiausaha Kerajaan Negeri
IPOH: Kekecohan berlaku di Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan pejabat Menteri Besar semalam, apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas Exco yang tiba untuk memasuki pejabat mereka dihalang memasuki pekarangan kompleks pejabat berkenaan.
Sejurus tiba pada jam 9.50 pagi, rombongan Mohammad Nizar dihalang memasuki pekarangan bangunan itu tetapi selepas berunding dengan pengawal, beliau dibenarkan masuk dan terus mengadakan sidang media dalam pejabat Menteri Besar yang dihadiri kira-kira 30 wartawan.Kira-kira jam 10.05 pagi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim masuk ke pejabat Menteri Besar dan mengarahkan semua wartawan keluar.
"Excuse me! Excuse me! (maafkan saya), Saya minta semua reporter (wartawan) meninggalkan bilik ini sekarang!" katanya.
Pengawal peribadi Mohammad Nizar kemudian menengking dan cuba mendekati Dr Abdul Rahman, tetapi beliau keluar dengan dikawal polis.
Mohammad Nizar kemudian meninggalkan pejabatnya untuk ke pejabat bekas Exco Kanan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham di tingkat satu bangunan dengan diikuti wartawan. Kira-kira jam 10.20 pagi, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias memasuki pejabat Exco kanan itu dan meminta semua wartawan keluar.
Mohammad Nizar kemudian turut keluar untuk kembali ke pejabatnya sambil disapa Dr Abdul Rahman yang mahu berbincang sesuatu.
"Datuk Seri, boleh berjumpa saya sekejap," katanya tetapi Mohammad Nizar tidak menjawab.
Pada jam 10.35 pagi, kereta rasmi Menteri Besar, jenis Toyota Camry dengan nombor pendaftaran AGS 10 membawa Mohammad Nizar meninggalkan Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Ketika ditanya dalam perjalanan keluar sama ada beliau diminta meninggalkan pejabat oleh Datuk Dr Abdul Rahman atau Azisman, Mohammad Nizar berkata: Tidak ada. Saya ada mesyuarat. Saya nak bagi bertenang saja.”
Mohammad Nizar kemudian dilihat keluar untuk bersembahyang Jumaat pada jam 1.05 petang tetapi enggan menjawab pertanyaan wartawan berhubung perkembangan terkini politik di Perak. "Saya pergi sembahyang dulu...tidak tahu lagi di masjid mana (solat Jumaat). Terima kasih kerana jaga," katanya.
Sementara itu, Mohammad Nizar masih menduduki kediaman rasmi Menteri Besar Perak sehingga petang semalam. Pintu masuk utama ke kediaman berkenaan dikawal 24 jam oleh anggota Unit Amal Malaysia, sebuah pasukan Dewan Pemuda Pas.
Hanya mereka yang dikenali, bekas Exco negeri dan pemimpin Pakatan Rakyat dibenarkan masuk. Tinjauan juga mendapati tiada sebarang pemindahan keluar barangan atau peralatan kepunyaan keluarga Mohammad Nizar dilakukan.
- BH, 07/02/09.

Tiada ulasan: