29 Mac 2009

Jangan khianati parti

[Utusan, 28/03/09]
KUALA LUMPUR 28 Mac - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya jangan sesekali mengkhianati parti selain menghentikan perbuatan memfitnah pemimpin sehingga merosakkan parti.
Beliau yang secara rasmi menyerahkan jawatan Presiden UMNO kepada Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini turut mengingatkan ahli parti agar memberi segala sokongan kepada kerajaan dan juga kepada pemimpin yang dipilih pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini.
"Pesan saya kepada ahli-ahli UMNO ialah supaya setia dan bersatu selain menghidupkan semula semangat kekeluargaan dalam parti.
"Ini adalah penting, kita mahu supaya kekuatan kekeluargaan dalam parti akan dapat diteguh dan ditingkatkan lagi,'' katanya.
Abdullah berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Jelasnya, semua ahli UMNO mesti terus menjadi penyokong yang kuat, bukan sahaja kepada pemimpin tetapi juga kepada parti.
"Kita menjadi penyokong dan kawan setia, kawan pada masa susah dan senang. Inilah ertinya setiakawan, inilah erti kekeluargaan dalam parti kita.
"Saya percaya barisan kepimpinan ini, insya-Allah akan membawa perubahan seperti mana yang diharapkan dan menguatkan lagi parti supaya ia tetap di hati rakyat, parti pilihan pertama dan parti yang memperjuangkan bangsa, agama dan negara,'' tambah Abdullah.
Beliau turut mengingatkan para perwakilan sepotong surah Wahsilah yang boleh ahli UMNO pakai sebagai panduan untuk mengukuhkan lagi persaudaraan sesama ahli.
''Allah SWT dalam firman-Nya menyebut, 'Bagi mereka yang menghadapi Allah sebagai Tuhan mereka dan berpegang kuat kepada kepercayaan itu maka akan diturunkan malaikat yang akan mengingatinya supaya jangan berduka cita dan jangan takut dan juga memberi khabar baik bahawa mereka akan mendapat satu ganjaran syurga dan akan juga akan dapat memperolehi apa jua dengan nikmat-nikmat dalam syurga seperti yang mereka kehendaki','' jelas beliau.
Abdullah menambah, beliau percaya jika semua ahli UMNO mengamalkan ajaran ayat berkenaan, persaudaraan akan dapat dikukuhkan dan kekuatan akan dapat ditingkatkan.
"Dengan cara ini parti kita akan menjadi parti, parti yang benar-benar kuat, parti yang melambangkan persaudaraan ahli-ahlinya yang kukuh bagi melambangkan kekuatan yang ada pada kita dan insya-Allah akhirnya menjadi parti yang menang.
"Atas semangat itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan banyak-banyak maaf kepada semua yang mungkin tersentak hati ataupun yang kecil hati dengan tingkah dan laku saya dan apa-apa yang telah saya lakukan.
"Siapa juga yang ingat saya tak suka dan marah kepada mereka semua, saya maafkan,'' katanya.
Jelasnya, beliau mahu bersara dengan rasa senang hati dan tidak ada perasaan-perasaan yang tidak baik yang hendak beliau bawa.
-

Tiada ulasan: