22 Mac 2009

Kaca Mata: Pembersihan dalam Umno tanggungjawab perwakilan

MOHD ALI (kanan) bersama dua calon Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin dan Muhammad pada majlis ramah mesra calon Timbalan Presiden Umno di Kota Kinabalu awal bulan ini.
*****
Oleh Hishammudin Aun
Tidak adil untuk sesiapa saja hanya menyalahkan Lembaga Disiplin

KEADAANNYA seolah-olah seluruh yang hadir di Dewan Bandaran Ipoh petang Selasa lalu, menanti dengan penuh debaran. Cuma seorang mempamerkan ketenangan atau sekurang-kurangnya mahu dilihat demikian.
Sejurus selepas jam 4 petang, mereka mendapat khabar yang dinanti-nantikan sambil Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, masih berupaya melemparkan senyuman terhadap sesiapa saja yang terfokus ke arahnya.
Didahului oleh pelbagai nada SMS yang masuk hampir serentak, disusuli oleh bisikan sesama hadirin, dewan berkenaan cukup hingar-bingar dengan khabar Ali sudah dibatalkan kelayakan bertanding jawatan Timbalan Presiden pada Perhimpunan Agung Umno, minggu depan.
Kebetulan, majlis memperkenalkan calon pelbagai jawatan dalam Umno kepada perwakilan dari seluruh Perak pada petang itu berlangsung serentak dengan sidang akhbar Lembaga Disiplin Umno oleh Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Ismail, di ibu negara.
Bukan pun pengumuman itu mengejutkan. Desas-desas mengenai salah seorang calon Timbalan Presiden mungkin hilang kelayakan bertanding, sudah pun tersebar luas sejak beberapa hari sebelumnya. Mereka semua boleh mengagak ia berkisar kepada Ali.
Dalam pada itu, apabila ia benar-benar menjadi kenyataan, impak daripadanya bukan kecil. Dibandingkan dengan Tan Sri Isa Samad yang digantung hanya sesudah menang jawatan Naib Presiden sebelumnya, keputusan ke atas Ali yang dibuat terlalu hampir dengan pemilihan, menggoncang suasana pertandingan kali ini.
Masing-masing harus mempunyai tafsiran berbeza-beza. Sambil ada yang boleh menerima pembatalan kelayakan Ali, andaian bahawa ramai lagi yang terlepas daripada tindakan, dianggap sebagai menghakis keadilan yang hendak diserlahkan.
Ada yang cuba mengaitkannya dengan teori konspirasi dalam pada satu kajian rambang menonjolkan Ketua Menteri Melaka itu sebagai pendahulu di samping kononnya ada dalang di belakang keputusan itu.
Ali, dalam hendak mempertahankannya dirinya tidak bersalah, mahu terus menunjukkan beliau tidak lari daripada apa-apa dengan terus muncul pada majlis memperkenalkan calon kepada perwakilan.Kepada sesetengah pula, Ali daripada kedudukan front-runner kini sudah bertukar fungsi kepada kingmaker.
Apa pun, kurang seorang calon kini tetap tidak mengurangkan kehangatan bahang perebutan jawatan Timbalan Presiden di antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Daripada perebutan tiga penjuru yang kini tinggal perlawanan satu lawan satu, fokusnya harus berbeza. Masing-masing mempunyai perkiraan yang mungkin sama, mungkin juga sama sekali berbeza.
Sekonyong-konyong kepada sebilangan, perwakilan yang sebelumnya bermaksud untuk mengundi Ali akan beralih sokongan kepada Muhammad yang dikatakan bakal meraih laba paling besar daripada keputusan Lembaga Disiplin itu.
Kepada sebilangan lain, perlawanan satu lawan satu akan memaksa penyokong Ali berfikir semula secara saksama untuk mereka memberikan undi kepada siapa yang dirasakan lebih layak di antara kedua-duanya, untuk Muhyiddin sedikit berkelebihan.
Segala-galanya terserah kepada 2,500 perwakilan nanti menentukan pilihan sambil kedua-dua kem Muhyiddin dan Muhammad ketara mahu mengelakkan gambaran bakal mengeksploitasi perkembangan mutakhir itu.“
Kerja-kerja kempen dijalankan seperti biasa tanpa ada apa-apa yang berbeza, baik ketika ia masih pertandingan tiga penjuru atau satu lawan satu,” kata seorang penyokong Muhyiddin. "Kami hanya mengharapkan perwakilan membuat pilihan bijak dan bukan didasarkan kepada emosi. Dari kem berlawanan pula, penyokong Muhammad sudah menghidu peluang yang jauh meningkat daripada sebelumnya dengan andaian majoriti penyokong Ali akan memihak kepada mereka."
Apa saja boleh berlaku sekarang berbanding pertandingan tiga penjuru sebelum ini,” kata seorang ejen dari kem Muhammad. Memang kami ketinggalan sebelumnya tetapi hari demi hari, sokongan kepada kami sudah banyak meningkat.Muhyiddin sudah pun menafikan kononnya beliaulah dalang di sebalik pembatalan kelayakan Ali -- fakta yang diperkukuhkan oleh Ali sendiri bahawa tiada konspirasi di sebalik penyingkirannya.
Harus Muhammad juga sedar ia akan memerlukan lebih daripada keramahannya untuk memikat undi perwakilan tetapi dalam pertandingan satu lawan satu yang terjadi setelah seorang disingkirkan, memang apa saja berkemungkinan.
Lembaga Disiplin sudah pun melakukan tugasnya. Suka atau tidak suka, dengan keterbatasan waktu dan pelbagai kekangan yang dihadapinya, ia adalah yang terbaik dapat dilakukannya menjelang pemilihan kali ini.
Seperti diungkapkan oleh Tengku Rithauddeen, berdepan situasi dibuat salah, tak buat pun salah, tidak mungkin lembaga itu dapat memuaskan hati semua melainkan untuk membuat keputusan berdasarkan kekuatan aduan dan bukti yang dikemukakan kepadanya.
Bukan kerja lembaga itu untuk meningkatkan peluang seseorang calon sambil mengurangi atau menutup terus peluang calon lain.Kalaupun Lembaga Disiplin dilihat tempang dalam menangani lebih 900 aduan yang didepaninya, ia harus dipersalahkan kepada ahli Umno sendiri yang hanya lantang mengkritik tetapi tidak berbuat apa-apa apabila wang masuk ke kocek mereka.
Hakikat bahawa ramai yang bersorak tidak adil apabila hanya Ali yang dibatalkan kelayakan bertanding, menunjukkan mereka sendiri tahu lebih ramai seharusnya menerima nasib serupa.
Soalnya adakah mereka melakukan apa-apa atau berbuat secukupnya untuk mengubah keadaan itu?
Ahli-ahli Umno keseluruhannya masih belum terlewat untuk memperbetulkan keadaan serta memulihkan imej Umno yang terus tercemar dengan dakwaan politik wang.Datuk Seri Najib Razak yang bakal ditabalkan selaku Presiden dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini, sudah menggariskan kriteria mereka yang dapat membantunya melaksanakan agenda mengukuhkan parti dan kerajaan.
Perwakilan Umno kali ini harus cukup bijaksana untuk menilai dan menghayati apa yang dimaksudkannya dengan hanya memberi mandat kepada calon berdasarkan keupayaan, tidak rasuah dan berupaya menggerakkan perubahan.Benar, seperti suara-suara lantang di dalam Umno sendiri, Ali tidak harus dibiarkan bersendirian.
- BH (rencana), 22/03/09.

Tiada ulasan: