24 Mac 2009

Perhimpunan Agung Titik Tolak Transformasi Dalam Umno

Oleh Syarifah Hunaini Syed Ismail

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) - Mulai esok, pelbagai pihak di seluruh negara bakal menumpukan perhatian kepada Perhimpunan Agung Umno 2008 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Sejak sekian lama, perhimpunan itu menjadi peristiwa penting negara, apatah lagi kali ini berlakunya pemilihan pimpinan parti yang sekali gus bakal menjawat jawatan tertinggi negara.Menjelang perhimpunan, pelbagai pemerhati dan kalangan dalam Umno berpendapat perhimpunan ini bakal menjadi petunjuk titik tolak proses transformasi atau peremajaan semula Umno sebagai parti terbesar orang Melayu.
Seramai 4,885 orang perwakilan iaitu 2,509 perwakilan pada perhimpunan agung, Wanita (796), Pemuda (791) dan Puteri (789) akan bersidang selama lima hari di PWTC memikul tugas berat memilih barisan pimpinan baru Umno yang bakal diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak, pasca peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Ketua Pegawai Eksekutif PWTC Datuk Yaakob Mohammad berkata segala persiapan berjalan lancar bagi perhimpunan yang dijangka dibanjiri kira-kira 60,000 orang, baik di dalam mahupun di persekitaran PTWC.Katanya kawalan keselamatan di PWTC akan dipertingkatkan, dengan kira-kira 2,000 anggota keselamatan, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang berlangsungnya perhimpunan.Najib serlaku timbalan presiden parti akan merasmikan serentak perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC malam esok, sebelum Presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Perhimpunan Agung Umno Khamis.
Perhimpunan kali ini juga menyaksikan peralihan kuasa tanpa dicabar bagi jawatan presiden diteruskan lagi.Bermula peralihan kuasa daripada Tunku Abdul Rahman kepada Tun Abdul Razak Hussein, tradisi itu dilangsungkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 2003. Kali ini, tradisi itu sekali lagi akan diteruskan Abdullah kepada timbalannya Najib.
Seminggu sebelum perhimpunan, Lembaga Disiplin parti membuat keputusan mengejut apabila melarang calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam daripada bertanding atas kesalahan politik wang.Pertandingan jawatan itu kini hanya antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria turut menerima nasib samaIsnin apabila dilarang daripada bertanding jawatan Majlis Tertinggi.Lapan calon naib presiden ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Dr Rais Yatim; Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Selain itu, pertandingan bagi jawatan ketua ketiga-tiga sayap Umno juga menarik dengan Tan Sri Rafidah Aziz dicabar oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan ketua Wanita manakala jawatan Ketua Pemuda menjadi rebutan Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Jawatan Ketua Puteri pula menjadi rebutan enam calon iaitu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datin Ismalina Ismail, Bibi Sharliza Mohd Khalid, Datuk Shahaniza Samsudin, Saarah Ali Bashah dan Ida Rahayu Md Noor.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata keputusan pemilihan bagi jawatan dalam MT dijangka diketahui pukul 10 malam, 26 Mac manakala keputusan pemilihan jawatan-jawatan sayap dijangka diumumkan pukul 9 malam 25 Mac.
-- BERNAMA, 24/03/09.

Tiada ulasan: