30 Mac 2009

Semangat Baru BN Bawa Angin Perubahan Di Bukit Gantang

[BERNAMA - 29 Mac 2009]
TAIPING, 29 Mac (Bernama) -- MCA yakin semangat baru yang dibawa bersama barisan kepimpinan baru parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dapat membawa angin perubahan kepada penduduk Bukit Gantang, khususnya kaum Cina yang mahukan sebuah kerajaan stabil.
Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata semangat baru itu muncul apabila parti komponen BN memilih kepimpinan baru melalui proses pemilihan parti masing-masing dengan yang terkini tunjang parti pemerintah, Umno dipimpin Presiden Umno yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak serta timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta anggota Majlis Tertinggi yang baru.
"Komitmen dan kerjasama rapat yang ditunjukkan oleh parti-parti komponen BN yang mempunyai hasrat untuk berubah dan mendengar masalah (rakyat) selepas mengalami pengalaman (kekalahan teruk) dalam pilihan raya lepas akan berjaya meraih sokongan pengundi terutama kaum Cina," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Promosi Cara Hidup Sihat di SJK(C) Khea Hwa, Matang, di sini, Ahad.
Liow, yang juga Menteri Kesihatan, berkata BN berusaha memperbaiki segala kesilapannya selepas pilihan raya umum tahun lalu dan kini lebih komited untuk menjalankan tugas dengan lebih cemerlang dalam meneruskan tradisi membela nasib rakyat.
"Kita (BN) akan buktikan (perubahan).. akan ambil langkah-langkah demi kebaikan penduduk setempat, dengan itu saya menyeru orang ramai terutama masyarakat Cina memberi sokongan padu kepada calon BN yang kita perkenalkan kepada Persatuan Cina dan penduduk Cina.
"Mereka hanya mahukan sebuah kerajaan yang stabil bagi menangani keadaan ekonomi yang meruncing pada masa ini, mereka nak lihat kurang politiking dan lebih kerja-kerja pembangunan ekonomi negara dan peningkatan taraf hidup rakyat di kawasan ini," katanya.
Beliau berkata pemimpin tertinggi parti termasuk MCA akan mendekati rakyat bagi memperjelaskan kepada mereka mengenai masalah dan isu yang ditimbulkan oleh parti pembangkang menerusi laman blog dan internet.
Menurutnya kerajaan BN adalah sebuah kerajaan berpengalaman serta berkeupayaan membantu rakyat dan calon BN Ismail Saffian adalah calon terbaik yang mampu membawa agenda pembangunan kepada penduduk setempat di samping mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Ismail, 49, calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, dan calon Bebas Kamarul Ramizu Idris, 42.
Ia diadaan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum dari PAS pada 9 Feb lepas, akibat serangan jantung.Pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, Roslan menang dengan majoriti 1,566 undi menewaskan calon BN Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas M. Mohganan.
-

Tiada ulasan: