25 April 2009

8 ketua baru Umno negeri

[BERITA - 24/04/09]
Oleh Syuhada Choo Abdullah, Magendran Rajagopal, Sazarina Shahrim dan Khairul Azran Hussin bhnews@bharian.com.my
Najib lantik 12 lagi ahli MT
KUALA LUMPUR: Lapan Badan Perhubungan Umno negeri mendapat Pengerusi baru dengan Datuk Seri Najib Razak mengetuai Selangor, manakala Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui Wilayah Persekutuan.
Presiden Umno turut mengumumkan pelantikan sembilan ahli Majlis Tertinggi (MT) dan tiga anggota tambahan yang menggandingkan muka lama dan baru, antaranya bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Jamil Khir Baharom dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula kekal sebagai Setiausaha Agung Umno, manakala Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dilantik Bendahari Agung menggantikan Datuk Abdul Azim Zabidi dan Timbalan Menteri di JPM Ahmad Maslan dilantik Ketua Penerangan menggantikan Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Rombakan barisan kepemimpinan Umno negeri dan ibu pejabat itu diumumkan Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat MT pertamanya di sini, semalam, sejak mengambil alih jawatan Presiden, bulan lalu.
Najib berkata, muka baru dan lama dilantik bagi memastikan kesinambungan dalam pembaharuan Umno kerana ada pemimpin veteran yang masih boleh memberi sumbangan kepada parti."Semua pelantikan ini dibuat berdasarkan Perlembagaan Umno dengan mengambil kira apa yang terbaik untuk parti sekarang," katanya selepas mesyuarat hampir tiga jam itu.
Najib sebelum ini mengetuai Badan Perhubungan Umno Perak, tetapi melepaskan jawatan itu kepada Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abd Kadir, bagi mengambil alih kepemimpinan Badan Perhubungan Selangor menggantikan Muhammad yang kalah dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti, bulan lalu.
Muhyiddin pula menggantikan Datuk Seri Zulhasnan Rafique, manakala tiga Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein masing-masing mengetuai Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu.
Ahmad Zahid menggantikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, manakala Shafie (bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahadzir Khalid) dan Hishammuddin (Menteri Besar, Datuk Ahmad Said).
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu mengambil alih kepemimpinan Umno negeri itu daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, manakala Datuk Mustapa Mohamed yang mendapat undi tertinggi dalam pemilihan anggota MT, bulan lalu, kini mengetuai Umno Kelantan menggantikan Tan Sri Annuar Musa.
Lima lagi Pengerusi Perhubungan Umno negeri - Sabah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang dikekalkan.Perdana Menteri berkata, Muhyiddin turut diberi tanggungjawab mempengerusikan Biro Pendidikan dan Jawatankuasa Pengurusan, manakala ketua biro lain akan dilantik dalam mesyuarat Biro Politik akan datang yang dipengerusikannya.
Mengenai pelantikan Rafidah dan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim walaupun masing-masing kalah dalam pemilihan Umno, bulan lalu, Najib berkata, ia dilakukan atas budi bicara beliau selaku Presiden berasaskan sumbangan mereka kepada parti.
#

Tiada ulasan: