20 April 2009

Ahli politik harus terima dengan jelas peringatan Sultan Perak - Rais

[BERNAMA - 20/04/2009]
PUTRAJAYA 20 April — Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata ahli-ahli politik, terutama pihak yang membangkang yang tidak semena-mena mengeluarkan kata-kata kesat sama ada secara ucapan, menerusi blog atau media yang lain, harus menerima dengan jelas peringatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
Beliau berkata apa yang dititahkan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah itu sebenarnya adalah peringatan kali kedua, apabila sebelum ini baginda telah menegaskan tentang betapa pentingnya institusi raja itu disisihkan daripada pergolakan politik.
Sehubungan itu, katanya, dengan titah baginda yang baru dan dengan titah sembah oleh puteranya, Raja Dr Nazrin Shah mengukuhkan lagi hujah bahawa institusi raja itu perlu mengikut tahap tradisinya dan kepentingan Perlembagaan Negara.
“Apabila kita bercakap mengenai Satu Malaysia, institusi diraja tidak boleh diketepikan malah ia merupakan tonggak besar dan tiang seri kepada kenegaraan dan kepada kerajaan itu sendiri.
“Ahli-ahli politik harus menerima imbasan yang jelas daripada titah ucapan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan dokumen serah tugas kepada Menteri Luar yang baru Datuk Anifah Aman di sini hari ini.
#

Tiada ulasan: