2 April 2009

BURSA MALAYSIA: Saham KL Ditutup Tinggi Berikutan Peralihan Kuasa Yang Lancar

[BERNAMA - 02 April, 2009]
KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Harga-harga saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, dengan belian saham-saham berwajaran tinggi telah meningkatkan indeks buat hari keenam berturut-turut, susulan peralihan kuasa yang berjalan lancar yang merangsang sentimen pelabur, kata peniaga.
Penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) meningkat 20.89 mata atau 2.36 peratus kepada 905.07 selepas dibuka 5.89 mata lebih tinggi pada 890.7.
"Perubahan dalam pucuk kepimpinan kerajaan memberi impak positif kepada pasaran," kata Penganalisis Kanan Pelabur MIMB, Rosnani Rasul hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keenam esok, menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Rosnani berkata prestasi bursa tempatan, yang selari dengan pasaran serantau. juga memberi respons terhadap ulasan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Timothy Geithner bahawa pakej rangsang berjumlah AS$1 trilion, berjalan lancar di negara itu.
"Ia menggerakkan ekonomi lain dan menyebabkan pasaran serantau turut mencatat rali. Selian itu, peniaga pasaran juga menunggu keputusan mesyuarat G20," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata aktiviti pengambilan untung akan berlaku pada Jumaat menjelang hujung minggu, apabila pelabur menjual kepentingan berikutan kedudukan data-data perdagangan yang dijangka negatif.
Indeks Kewangan menokok 181.24 mata kepada 6,865.32, Indeks Perusahaan meningkat 26.34 mata kepada 2,136.25 manakala Indeks Perladangan menambah 132.94 mata kepada 4,679.02.Bagi siri Indeks FTSE-BM Index, FBMEmas meningkat 153.6 mata kepada 5,936.8, FBM30 menokok 134.69 mata kepada 5,821.79 dan FBM2BRD menambah 25.62 mata kepada 3,926.78 manakala FBM-MDQ susut 4.56 mata kepada 2,994.4.
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 476 berbanding 135 manakala 152 kaunter tidak berubah, 510 tidak diniagakan dan 59 lagi digantung.Jumlah dagangan meningkat kepada 841.299 juta saham benilai RM1.208 bilion berbanding 371.051 juta saham bernilai RM493.910 juta pada Rabu.
Antara kaunter aktif, KNM Group menambah dua sen kepada 42 sen, Malaysian Resources menokok 8.5 sen kepada 94 sen, Resorts World naik tujuh sen kepada RM2.23, WCT untung 14 sen kepada RM1.26, dan UEM Land menambah enam sen kepada 78 sen.Bagi kaunter berwajaran tinggi, Sime Darby untung 10 sen kepada RM5.85, Maybank meningkat lapan sen kepada RM4.14, Tenaga menokok 15 sen kepada RM6.25, Bumiputera Commerce menambah 40 sen kepada RM7.40 dan IOI Corp meningkat 16 sen kepada RM4.06.P
ada penutup, jumlah dagangan di Papan Utama meningkat kepada 771.439 juta saham bernilai RM 1.196 bilion berbanding 321.141 juta saham bernilai RM485.67 juta semalam.Jumlah dagangan di Papan Kedua menambah kepada 29.698 juta saham bernilai RM7.916 juta saham bernilai 10.003 juta saham bernilai RM3.512 juta saham.
Jumlah dagangan di Pasaran Mesdaq susut kepada 11.156 juta saham bernilai RM1.534 juta berbanding 28.367 juta saham bernilai RM3.306 juta.Waran meningkat kepada 27.558 juta saham bernilai RM2.203 juta berbanding 9.442 juta saham bernilai RM829,124.
Mengikut sektor, barangan pengguna menyumbang sebanyak 25.216 juta saham yang diurusniagakan di Papan Utama, barangan pengguna 114.899 juta, pembinaan 146.862 juta, perdagangan/perkhidmatan 276.971 juta, teknologi 10.247 juta, infrastrktur 16.634 juta, kewangan 46.169 juta, hotel 2.011 juta, hartanah 101.717 juta, perladangan 29.599 juta, perlombongan 28,500, REIT 1.063 juta dan dana tertutup 20,000.
-

Tiada ulasan: