25 April 2009

Pembaharuan UMNO

[UTUSAN - 24/04/09]
Oleh Aznan bakar, Arshad Khan dan Saiful AIzan Hasam pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 24 April – Datuk Seri Najib Tun Razak terus komited untuk melakukan pembaharuan dalam UMNO apabila melakukan perubahan pucuk pimpinan di lapan negeri.
Malah lima daripada lapan negeri terbabit menyaksikan pelantikan barisan kepimpinan tertinggi parti sebagai Pengerusi Badan Perhubungan.
Presiden UMNO itu sendiri mengetuai Badan Perhubungan UMNO Selangor manakala timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin UMNO Wilayah Persekutuan.
Semua tiga Naib Presiden UMNO buat pertama kali turut diberi tanggungjawab menerajui UMNO negeri dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memimpin Terengganu bagi menggantikan Datuk Ahmad Said. Ahmad dilantik sebagai timbalan.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula mengambilalih teraju Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sementara Datuk Seri Shafie Apdal diberi tanggungjawab untuk mengemudi UMNO Kedah.
Tiga lagi negeri iaitu Kelantan diterajui oleh Datuk Mustapa Mohamad, Perak oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Perlis oleh Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.
Pengumuman yang dibuat oleh Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO buat pertama kali selepas pemilihan parti Mac lalu itu sekali gus menyaksikan beberapa nama digugurkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Mereka ialah Datuk Seri Shahidan Kassim di Perlis, Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kedah), Tan Sri Muhammad Muhd. Taib (Selangor) dan Tan Sri Annuar Musa (Kelantan).
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang dikatakan akan digugurkan pula kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu.
Najib pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu berkata, pelantikan barisan kepimpinan tertinggi parti sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bukan bermakna parti tersebut ketandusan pemimpin.
“Naib Presiden layak jadi Pengerusi Badan Perhubungan. Kalau dia jadi Naib Presiden tak kan dia tak boleh jadi pengerusi perhubungan?
“Itu ikut atas pertimbangan saya, ada keperluan dilantik Naib Presiden, kita lantiklah,” jelasnya.
Pada sidang akhbar itu, Najib turut mengumumkan pelantikan 12 ahli MT termasuk masing-masing satu wakil daripada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.
Antara yang kembali dilantik menganggotai MT ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz.
Turut di lantik ialah Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menjadi satu-satunya Menteri Besar yang dilantik ke jawatan MT.
“Menteri Besar yang tidak dilantik akan dijemput hadir sebagai antara yang turut hadir dalam mesyuarat MT,” jelas Najib.
Najib turut mengekalkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung dan melantik Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Bendahari Agung yang baru menggantikan Datuk Seri Abdul Azim Zabidi.
Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan pula dilantik Ketua Penerangan UMNO bagi menggantikan Muhammad.
Mengenai pelantikan semula Rafidah dan Shahidan, Najib berkata: “Mereka boleh beri sumbangan pada parti, jadi kita ada kesinambungan dan kita ada pembaharuan.”
#

Tiada ulasan: