7 April 2009

Pemimpin parti komponen BN jumpa PM bincang bentuk Kabinet

[UTUSAN - 06/04/09]
PUTRAJAYA 6 April – Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) hari ini mula menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipercayai untuk membincangkan pembentukan barisan Kabinet yang baru.
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon masing-masing dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 10.50 pagi dan 11.30 pagi.
Kedua-duanya meninggalkan pejabat Perdana Menteri sejam kemudian.
Tee Keat dan Tsu Koon bagaimanapun tidak menghentikan kereta untuk memberi sebarang ulasan kepada pihak media yang menunggu berhubung tujuan mereka menemui Perdana Menteri.
Dalam pada itu, beberapa pemimpin BN ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, mereka belum menerima apa-apa panggilan untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.
Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas berkata, beliau dan beberapa pemimpin BN masih menunggu giliran untuk berjumpa Perdana Menteri.
”Kebiasaannya presiden parti komponen akan dipanggil untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri sebelum barisan Kabinet yang baru diumumkan.
”Saya bagaimanapun belum dimaklumkan tentang pertemuan sedemikian, mungkin PPP akan dipanggil tidak lama lagi,” katanya.
Tambahnya, beliau kini berada di Taiping untuk membantu BN menghadapi pilihan raya kecil di kawasan Parlimen Bukit Gantang.
Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok ketika dihubungi pula berkata, beliau berada di Batang Air dan tidak mungkin dapat berjumpa dengan Perdana Menteri pada hari ini.
”Saya tidak berada di Putrajaya kerana sedang giat berkempen untuk BN di Batang Air, jadi tidak dapat berjumpa dengan Perdana Menteri hari ini,” katanya.
Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong pula berkata, beliau menyerahkan kepada Najib untuk menentukan barisan Kabinet yang baru.
”Saya baru pulang daripada berkempen di Batang Air dan akan meneruskan kempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.
“LDP buat masa ini hanya menumpukan perhatian menghadapi tiga pilihan raya kecil yang akan dijalankan,” katanya.
-

Tiada ulasan: