3 April 2009

Terima kasih semua - Abdullah

[UTUSAN - 02/04/09]
ABDULLAH Ahmad Badawi dan Jeanne Abdullah bergambar bersama kakitangan dari Unit Komunikasi Pejabat Perdana Menteri pada majlis makan tengah hari di Seri Perdana di Putrajaya, semalam. - BERNAMA *****
PUTRAJAYA 2 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua atas segala kerjasama dan sokongan yang diterima sepanjang menyandang jawatan Perdana Menteri.
Penghargaan itu disampaikan pada satu majlis di Sri Perdana di sini sejurus selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara bagi memaklumkan hasrat meletak jawatan Perdana Menteri.
''Saya mengambil kesempatan mengucapkan berbanyak terima kasih atas sokongan kepada saya sepanjang memegang dan berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
''Jika ada apa-apa salah dan silap, minta maaf," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertemuan dengan kira-kira 130 kakitangan Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan di sini.
Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah.
Abdullah melepaskan jawatan Perdana Menteri yang disandangnya selama lima tahun lima bulan kepada timbalan beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam di Istana Negara pagi esok.
Pada majlis itu, Abdullah turut melahirkan penghargaan kepada kakitangan Pejabat Perdana Menteri atas khidmat yang mereka berikan sepanjang beliau bertugas.
''Saya berharap saudara-saudari dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin supaya dapat maju dalam kerjaya masing-masing," katanya.
-

Tiada ulasan: