6 Julai 2009

Sewa ‘banglo mewah’, Guan Eng diminta buat penjelasan

[Utusan - 06/07/09]
PULAU PINANG 5 Julai – Belum pun berjaya menyelesaikan kontroversi pengambilalihan tanah di Kampung Buah Pala di sini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dibidas lagi.
Kali ini, isu perpindahan beliau dari kediaman rasmi di Seri Teratai ke sebuah banglo mewah di No. 25, Jalan Pinhorn di sini.
Tindakannya itu dikatakan mencerminkan sikap pemimpin itu yang ‘cakap tak serupa bikin’.
Guan Eng sebelum ini selalu menekankan bahawa kerajaan negeri pimpinannya akan mengamalkan budaya berjimat cermat dan berbelanja secara sederhana.
Pemuda Gerakan negeri pada sidang akhbar di pejabat parti di Jalan Macalister di sini hari ini mahu Guan Eng mendedahkan alasan sebenar beliau perlu berpindah ke rumah sewa mewah itu.
Naib Ketuanya, H’ng Khoon Leng berkata, pendedahan itu perlu dan bersesuaian dengan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) yang sering dilaung-laungkan Guan Eng supaya rakyat mengetahui perkara sebenar.
Menurut beliau, alasan Guan Eng masalah anai-anai, semut api dan musang di Seri Teratai menyebabkan beliau berpindah ke banglo mewah amat mengecewakan kerana kesemuanya itu hanya masalah kecil yang dapat diatasi dengan mudah.
‘‘Kita semua tahu, dia (Guan Eng) memang suka menyalahkan orang lain, namun alasannya menyalahkan binatang seperti anai-anai, semut api dan musang, kami rasa hanya masalah kecil.
‘‘Saya minta beliau memberi penjelasan secara telus mengapa perlu berpindah ke kediaman mewah itu,’’ ujarnya.
Menurutnya, walaupun kediaman baru Ketua Menteri itu hanya sebuah banglo biasa sebelum ini, namun selepas proses pengubahsuaian, ia sudah menjadi mewah dan dipercayai melibatkan kos ratusan ribu ringgit.
‘‘Masalahnya, siapakah yang membayar kos berkenaan. Saya minta dia jawab. Esok pun sudah boleh jawab,” kata Khoon Leng.
Menurut Koong Leong, Ketua Menteri itu harus memberi jawapan secepat mungkin dan bukannya mengelak setiap kali ditanya.
‘‘Kami juga mahu tahu tempoh perjanjian penyewaan, bila pengubahsuaian mula dilakukan, bila pembayaran elaun perumahan beliau bermula dan yang paling utama, bila beliau akan pulang ke Seri Teratai. Ini semua kita mahu penjelasan.
‘‘Saya percaya beliau akan terus mengelak menjawab soalan-soalan kami ini. Jika beliau tetap tidak mahu menjawab, kami akan mengambil tindakan susulan yang lain. Namun, ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat,” katanya.
Tambah Khoon Leng, sebagai ketua kerajaan negeri, tindakan Guan Eng cuba menghindarkan publisiti banglo mewah itu amat bertentangan dengan gaya pimpinan biasanya yang suka kepada publisiti.
Guan Eng pernah dibidas mengenai isu kediamannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri April tahun lalu apabila menyatakan akan tinggal di rumah milik keluarganya sebagai langkah berjimat cermat.
Bagaimanapun, beliau berpindah ke Seri Teratai pada 26 Jun tahun lalu.
Pada persidangan itu, Shabudin Yahya (BN-Permatang Berangan) berkata, tindakan Ketua Menteri itu berpindah ke rumah rasmi menyaksikan ia diubah suai dengan kos kira-kira RM122,000 dan ia tidak mencerminkan langkah untuk menjimatkan duit kerajaan.
#

Tiada ulasan: