14 Ogos 2009

BBPM: Penghina Islam wajar diperangi

[Utusan - 14/08/09]
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membenarkan pemimpin DAP menghina Islam, membuktikan parti itu sanggup berbuat apa sahaja demi menjaga kepentingan politik mereka.
Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, Nik Abdul Aziz adalah seorang 'tok guru' yang 'serba boleh' apabila ia bersangkutan dengan kepentingan pakatan pembangkang.
"Adalah tidak wajar kita membenarkan sesiapa pun menghina agama Islam. Pihak yang menghina Islam wajib diperangi.
"Zaman Nabi dahulu, umat Islam sanggup berperang apabila Islam dihina, tetapi ulama besar parti Islam itu kini boleh pula membenarkan kesucian Islam dihina," katanya.
Beliau diminta mengulas keengganan Nik Abdul Aziz mengecam tindakan segelintir pemimpin DAP memberi reaksi melampau terhadap beberapa isu sehingga menghina Islam termasuk mengaitkan dengan ekstremis.
Semalam, Mursyidul Am Pas itu menjelaskan beliau tidak akan membantah tindakan segelintir pemimpin DAP yang dilihat menghina Islam.
Sebaliknya, Nik Abdul Aziz menyalahkan sikap pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan telah disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.
Menurut Osman, pihak yang tidak memahami Islam secara mendalam sepatutnya 'tutup mulut' dan bukannya menghina agama itu.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap sesiapa sahaja yang menghina Islam bagi memberi pengajaran kepada pihak lain.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali kecewa dengan sikap Nik Abdul Aziz yang meletakkan politik lebih penting daripada agama.
"Saya kecewa, terkejut dan sedih apabila Menteri Besar Kelantan tidak mengutuk, apatah mengecam tindakan segelintir pemimpin DAP.
"Janganlah kerana Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dan demi menjaga hati DAP, Islam dihina pun tidak membantah," ujarnya.
Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Roshdan Sujak Rafie pula berkata, Nik Abdul Aziz tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan seperti itu dan harus memikirkan sensitiviti masyarakat di negara ini.
"Pemimpin sesama Islam dan bukan Islam perlu belajar untuk memahami sensitiviti berhubung perkara berkenaan dan jangan terlalu ghairah memberi kenyataan sehingga mencetuskan kontroversi serta konflik di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini," katanya.
##

Tiada ulasan: