14 Ogos 2009

Fikir dulu sebelum minta hapus ISA - Hishammuddin

[Bernama - 14/08/2009 3:01pm]
KOTA BAHARU 14 Ogos — Rakyat perlu berfikir dengan waras dan tidak terpengaruh dengan permainan politik dangkal sesetengah pihak sebelum meminta Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, dalam keadaan negara maju yang sebelum ini melaungkan demokrasi dan kebebasan bersuara pun sudah menerima pakai akta keselamatan seperti ISA, masih ada pihak di negara ini yang mengambil pendirian enggan menerima kepentingan akta itu.
“Di Amerika Syarikat pun sudah ada akta patriotiknya, United Kingdom pun sudah ada akta antiterorrisme, di Melbourne (Australia) baru-baru ini pun lima pengganas berasal dari Somalia (ditangkap).
“(Tetapi), kita pula mengarut di tepi jalan nak hapuskan ISA. Negara lain pun sekarang ini cari jalan bagaimana nak kukuhkan undang-undang yang mereka tak ada, tetapi kita ada. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar,” katanya pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kubang Kerian di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan negara berhadapan ancaman keganasan pihak yang ingin membalas dendam berikutan kegagalan menahan penjenayah paling dikehendaki di rantau Asia, Noordin Mohammad Top.
Hishammuddin berkata kemungkinan itu sentiasa ada namun negara bertuah kerana rakyat negara ini menolak sebarang bentuk keganasan.
“Saya selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri, saya nak beri jaminan kepada orang ramai, Insya-Allah keadaan terkawal. Ini yang kita fikir bila kita nak pinda ISA,” katanya.
##

Tiada ulasan: