7 September 2009

Bukti pakatan tidak berwibawa

[Utusan - 07/09/09]
Oleh YUSRI SAHAT

Najib Tun Razak memangku Mohd. Shahariz Yusop 4, ketika melawat rumah ibu tunggal, Zulaikha @ Dahlia Yong 34, di Kampung Padang Jaya, Pekan, Pahang, semalam. Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan peribadi dan makanan untuk keluarga miskin tersebut. Turut kelihatan anak-anak Zulaikha (dari kanan) Najmuihuda 8, Mohd. Shahdaniel 9, Fatimatulzahra 11, dan Mohd. Shahborhanuddin yang berusia tujuh tahun.

*****

PEKAN 6 Sept. – Perdana Menteri berkata, kekecohan yang berlaku pada majlis dialog Menteri Besar Selangor dan penduduk Seksyen 23, Shah Alam berhubung isu pembinaan kuil semalam, membuktikan kerajaan pakatan pembangkang tidak berwibawa untuk mentadbir apabila gagal menyelesaikan masalah rakyat secara berhemah.
Malah menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, kewibawaan kerajaan negeri yang ditadbir pakatan pembangkang semakin dipersoalkan rakyat apabila mereka tidak mampu membuat keputusan dengan tepat dan memuaskan hati semua pihak.
Insiden itu juga, kata beliau, menunjukkan pakatan pembangkang gagal menunaikan janji-janji yang ditaburkan kepada rakyat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu.
‘‘Kewibawaan kerajaan yang dikuasai pakatan pembangkang sudah mula dipersoalkan rakyat. Mereka (pakatan pembangkang) menghadapi begitu banyak masalah.
‘‘Apabila mereka berjanji, mereka tidak dapat menunaikannya dan keputusan yang mereka buat tidak memenuhi jangkaan rakyat. Mereka juga cuai membuat keputusan yang tepat dalam satu-satu situasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan kepada penduduk miskin di Kampung Padang Jawa, Kampung Sri Damai dan Kampung Bentan dekat sini hari ini.
Najib juga menyampaikan bantuan kepada 24 keluarga mangsa ribut di Kampung Halimi dekat sini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas kekecohan yang berlaku pada majlis dialog tersebut yang berlangsung di Dewan Bankuet, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam.
Hampir sepanjang sesi dialog yang bermula pukul 10 pagi itu, berlaku perang mulut antara penduduk yang membantah cadangan pembinaan kuil dengan para pemimpin yang hadir termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Mereka turut menghambur kata-kata kesat dan menjerit perkataan ‘penipu’ kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail setiap kali mereka memberi penjelasan terhadap soalan yang diajukan.
Mengulas lanjut, Najib menyindir pembangkang yang sebelum ini sering mempertikaikan kewibawaan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menangani isu-isu tertentu berkaitan kepentingan rakyat.
Bagaimanapun katanya, apabila pakatan pembangkang memerintah, keadaan lebih buruk berlaku apabila para pemimpinnya gagal membuat keputusan dengan tepat dan tidak mengambil kira pandangan masyarakat yang berkaitan.
‘‘Ketika mereka menjadi pembangkang, amat mudah bagi mereka mempertikaikan kerajaan BN kononnya kita tidak berwibawa atau sebagainya.
‘‘Hakikatnya apabila mereka mentadbir, ia tidak semudah seperti yang mereka cuba lakarkan ketika mereka menjadi pembangkang dahulu,” jelasnya.
Ditanya sama ada kerajaan Pusat akan campur tangan dalam isu tersebut bagi mengelakkannya menjadi lebih buruk, kata Najib, ia tidak boleh dilakukan memandangkan tapak kuil tersebut adalah bidang kuasa kerajaan negeri.
‘‘Sukar bagi kita campur tangan kerana akhirnya kita terpaksa merujuk kepada Kerajaan Negeri,” jelasnya.
Mengulas calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang selepas kematian wakil rakyatnya, Azman Mohd. Noor Jumaat lalu, Najib berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan.
‘‘Terlalu awal dan ada masa lagi. Tunggu dululah,” katanya.
Mengenai kemungkinan bonus kakitangan kerajaan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri ini, katanya sambil berseloroh: ‘‘Itu kena tanya Ketua Setiausaha Negara’'.

##

Tiada ulasan: