12 September 2009

Kerajaan Indonesia wajar ambil tindakan - Dr. Mahathir

[Utusan - 12/09/09]
PETALING JAYA 11 Sept. - Kerajaan Indonesia wajar bertindak terhadap rakyatnya yang membuat provokasi keterlaluan terhadap Malaysia bagi mengelakkan keadaan semakin meruncing, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan rasa sedih dengan perkembangan itu namun berkata, beliau memahami ia hanya melibatkan sekumpulan kecil rakyat republik itu.
Katanya, cadangan segelintir rakyat Indonesia untuk mAdd Imageelancarkan perang terhadap Malaysia membuktikan mereka sebenarnya tidak memahami hubungan erat antara kedua buah negara.
"Saya harap kerajaan Indonesia akan mengambil tindakan, kalau di sini kita tidak akan benarkan benda semacam itu berlaku, terutama bila ugut mahu 'sweeping' (mengusir rakyat Malaysia).
"Kalau mahu dijadikan slogan sahaja bolehlah, tapi kalau sampai hendak tahan kereta, nak buat 'sweeping', itu bukan perkara yang baik," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Penganugerahan Sri Cemerlang Piala Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) kepada Kelab Perkim Universiti di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Setiausaha Kehormat Perkim, Tan Sri Abdul Hamid Othman.
Selasa lalu, sekumpulan rakyat Indonesia melakukan gerakan provokasi 'Sapu Orang Malaysia' di Jalan Diponegoro, Jakarta.
Dalam demonstrasi tersebut, penunjuk perasaan yang bersenjatakan buluh runcing menahan kenderaan dan bertanya identiti mereka bagi mengesan rakyat Malaysia ekoran isu berbangkit berhubung tarian Pendet.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan Malaysia perlu berhubung dengan kerajaan Indonesia untuk meminta kerjasama supaya sentimen itu dihentikan.
Beliau berkata, perkara yang kecil itu tidak sepatutnya menyebabkan hubungan yang baik selama ini menjadi rosak.
"Sebenarnya perkara ini remeh sahaja, bukan perkara besar. Dia kata kita curi lagu, curi tarian, itupun bukan kita yang buat, orang lain buat," katanya.
##

Tiada ulasan: