8 September 2009

Khalid tetap teruskan

[Utusan - 07/09/09]
Oleh ABDUL YAZID ALIAS dan SHAHARANI SAIBI
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 7 Sept. – Meskipun mendapat bantahan besar-besaran penduduk sehingga hampir mencetuskan pergaduhan, kerajaan negeri hari ini membuat keputusan meneruskan cadangan untuk memindahkan tapak pembinaan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 di sini.
Ia berikutan kerajaan negeri telah mengenal pasti tapak baru bagi menggantikan lokasi cadangan asal pembinaan kuil yang mendapat bantahan majoriti penduduk Islam Seksyen 23.
Lokasi baru itu yang terletak kira-kira 100 meter dari tapak cadangan asalnya serta 400 meter dari kawasan perumahan penduduk dilihat paling sesuai dan strategik.
Menurut kenyataan Pejabat Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini, keputusan tersebut adalah hasil tinjauan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pagi ini.
Turut meninjau lokasi ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail; Datuk Bandar Shah Alam, Madzalan Mohd. Noor serta Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Othman Omar.
Selain Seksyen 23, tinjauan turut dilakukan di kawasan Seksyen 18, 19 dan Seksyen 20 di sini.
Kenyataan itu menyebut pemilihan lokasi baru itu akan dibincangkan oleh kerajaan negeri dengan Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariaman bagi mendapatkan persetujuan semua pihak.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23, Ahmad Mahyuddin Manaf ketika dihubungi terkejut dengan keputusan kerajaan negeri itu.
Beliau berkata, ini kerana Abdul Khalid ketika majlis pertemuan bersama penduduk Seksyen 23 Sabtu lalu menyatakan tidak akan menyentuh soal pembinaan kuil di Seksyen 23.
Katanya, keputusan itu bakal mencetuskan persoalan kepada penduduk sama lokasi baru itu berada di kawasan yang sama seperti dicadangkan sebelum ini atau sebaliknya.
“Kami tidak tahu menahu mengenai lawatan Menteri Besar di Seksyen 23 hari ini kerana tidak ada wakil penduduk dipanggil untuk turut serta dalam lawatan berkenaan.
“Bagaimanapun, kami menghormati kerajaan negeri terutama dalam usaha untuk menyelesaikan masalah ini tetapi cuma kami terkejut mengapa mereka mengadakan lawatan ke tapak kawasan ini lagi,” ujarnya.
Ahmad Mahyuddin berkata, kerajaan negeri sepatutnya mendapatkan pandangan penduduk terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sekiranya lokasi baru yang dicadangkan itu berhampiran kawasan perumahan penduduk.
Menurutnya, beliau tidak ada masalah dengan pembinaan kuil berkenaan di Seksyen 23 sekiranya lokasinya adalah jauh daripada kawasan penempatan penduduk.
“Saya tidak ada masalah jika kerajaan negeri mahu memindahkan kuil di Seksyen 23, selagi kedudukannya jauh kawasan perumahan serta tidak menganggu penduduk.
“Bagaimanapun yang pasti, ada penduduk akan menerima cadangan baru itu jika tidak mengganggu mereka dan ada juga yang menolak terus daripada dibina di Seksyen 23,” jelasnya.
##

Tiada ulasan: