23 September 2009

Mahasiswa dinasihat bijak pilih pengajian

[Utusan - 23/09/09]
BESUT 22 Sept. - Mahasiswa perlu bijak memilih pengajian yang diminati bagi memastikan mereka mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata, mereka perlu mengambil bidang pengajian yang sukar untuk lulus tetapi menjanjikan peluang pekerjaan yang baik.
Menurutnya, tiada guna jika mereka memilih bidang pengajian yang mudah semasa di universiti tetapi sukar mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian.
"Sebaliknya jika mahasiswa sanggup memilih bidang yang agak sukar untuk lulus, ia adalah lebih baik kerana bidang tersebut mempunyai peluang kerja yang lebih luas," katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut menyatakan demikian selepas majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Mahasiswa Besut anjuran Sekretariat Mahasiswa Besut di Kampung Raja, dekat sini malam tadi.
Menurut Idris, mahasiswa juga perlu memiliki keyakinan, keterampilan diri serta mampu berkomunikasi dengan baik untuk mendapat pekerjaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Mara bercadang memperluaskan pendidikan Ulul Albab dengan melaksanakannya di sebuah lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pada tahun depan.
Katanya, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan jika segala-galanya berjalan lancar, kemungkinan sebuah atau dua buah lagi MRSM dipilih untuk melaksanakan pendidikan itu.
"Kalau sebuah MRSM dipilih maka seramai 350 orang pelajar akan diambil dan jika dua buah yang akan dibuka maka 500 orang pelajar akan diambil untuk mengikuti pendidikan berteraskan Ulul Albab.
"Tahun ini kita mulakan di MRSM Kota Putera yang hasilnya ramai pelajar menunjukkan kemampuan menghafaz sehingga tujuh juzuk al-Quran dan ini satu perkembangan memberangsangkan," jelasnya.
##

Tiada ulasan: