30 September 2009

N. Gobalakrishnan ditahan polis

[Utusan - 29/09/2009]
BUKIT MERTAJAM 28 Sept. - Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan hari ini ditahan polis ekoran waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya berhubung satu kes mahkamah di Tapah, Perak.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub berkata, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 10.30 pagi.
Ketika ditahan, Gobalakrishnan baru sahaja selesai menghadiri sebutan semula kes berhubung tuduhan menggunakan kekerasan jenayah ke atas anggota polis ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir bulan lalu.
"(Tangkapan) itu prosedur biasa berikutan waran tangkap yang dikeluarkan bersabit satu kes mahkamah yang tidak dihadiri oleh beliau di Tapah.
"Dia ditahan dan kita telah hantarnya ke Tapah untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara lanjut berhubung kes mahkamah yang dihadapi Gobalakrishnan itu.
Ayub berkata, Gobalakrishnan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini sebelum dihantar ke Tapah.
##

Tiada ulasan: