3 September 2009

Selesaikan isu kuil

[Utusan - 03/09/09]
Oleh Azian Aziz pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 2 Sept. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan isu cadangan pembinaan kuil di Seksyen 23 di sini bagi mengelak perselisihan kaum.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah baginda itu disampaikan kepada Abdul Khalid dalam sepucuk surat bertarikh 24 Ogos lalu.
“Baginda juga telah menitahkan perkara itu pada sesi menghadap hari Rabu iaitu sebelum mesyuarat Exco berlangsung,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas berita yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini bertajuk Sultan Selangor diminta campur tangan.
Dalam laporan tersebut, beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) meminta Sultan Selangor campur tangan isu kuil di Seksyen 23 di sini.
Isu tersebut bermula apabila penduduk di Seksyen 23 membantah cadangan pembinaan kuil di kawasan mereka yang majoritinya beragama Islam berbanding hanya 40 penganut Hindu.
Ekoran tiada jaminan daripada kerajaan negeri untuk membatalkan cadangan itu, kira-kira 200 penduduk bertindak mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat minggu lalu bagi menyatakan bantahan.
Keadaan bagaimanapun bertukar kecoh serta menjadi kontroversi apabila ada kalangan mereka yang menyertai perhimpunan itu membawa kepala lembu ketika berarak ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.
Sehubungan itu, pelbagai pihak termasuk dari luar negara mengkritik tindakan tersebut yang dianggap tidak sensitif dengan sentimen kaum dan agama.
##

Tiada ulasan: