4 Oktober 2009

Doa demi kesejahteraan - PM

[Utusan - 04/10/09]
Oleh YUSRI SAHAT
pengarang@utusan.com.my
PEKAN 3 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua bakal haji ketika berada di Tanah Suci mendoakan kesejahteraan negara ini supaya tidak ditimpa musibah dan bencana alam yang dahsyat.
Perdana Menteri berkata, doa itu juga merupakan tanda kesyukuran kerana negara tidak ditimpa musibah yang besar sebagaimana berlaku di negara-negara jiran sejak akhir-akhir ini.
''Apabila berada di Tanah Suci nanti, tolong doakan kesejahteraan supaya Malaysia terlepas daripada bencana dan musibah yang besar.
''Kita seharusnya bersyukur kerana Allah memberi perlindungan kepada kita semua apabila tidak ditimpa bencana alam yang dahsyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 190 bakal haji dalam Parlimen Pekan di Bangunan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.
Dalam tempoh seminggu ini, dua negara jiran iaitu Indonesia dan Filipina dilanda bencana alam sehingga mengorbankan nyawa dan kerosakan harta benda.
Rabu lalu, gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter menggegarkan Padang, Sumatera Barat sehingga mengorbankan lebih 770 orang dan 295 lagi parah setakat semalam.
Sementara itu, sehingga 30 September lalu pula, kira-kira 83 terbunuh, manakala lebih 330,000 rakyat kehilangan tempat tinggal selepas di badai taufan 'Ondoy' yang mengakibatkan banjir besar di Metro Manila, Filipina dan kawasan sekitarnya.
Najib memberitahu, oleh kerana Malaysia terselamat daripada malapetaka sedemikian, umat Islam di negara ini dapat menunaikan fardu haji dengan aman dan selesa.
Keadaan itu, jelas beliau, ditambah pula dengan sokongan padu rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan yang memudahkan lagi mereka menunaikan Rukun Islam kelima itu ke Tanah Suci.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan kerajaan akan terus membantu kebajikan jemaah haji Malaysia termasuk meningkatkan lagi kuota bilangan ke Mekah.
''Pada masa ini, kuota bilangan jemaah ialah kira-kira 20,000 orang dan kita akan berusaha meningkatkan lagi kuota itu pada masa akan datang.
''Kita mahu mengurangkan lagi tunggakan penantian pemohon untuk pergi haji kerana ada yang terpaksa menunggu selama 15 tahun untuk ke Tanah Suci," jelasnya.
Beliau juga menasihati bakal haji supaya menjaga disiplin dan menggunakan sepenuh masa di Masjidil Haram, Mekah untuk melakukan ibadat.
Selama ini, tambah beliau, kerajaan Arab Saudi menyifatkan jemaah Malaysia sebagai yang terbaik berikutan disiplin mereka yang tinggi sepanjang musim haji.
''Semasa saya menghadap Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud baru-baru ini, baginda memuji jemaah Malaysia yang dianggap terbaik apabila tekun beribadat dan tertib," ujarnya.
##

Tiada ulasan: