29 Oktober 2009

Kongsi gelap: Ronnie belum terima arahan polis

[Utusan - 29/10/09]
SHAH ALAM 28 Okt. - Exco Selangor, Ronnie Liu berkata, beliau belum menerima sebarang arahan daripada polis untuk memberi keterangan berhubung siasatan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan aktiviti kongsi gelap di negeri ini.
Sebaliknya, jelas beliau, polis hanya memanggil Pegawai Khasnya, Daniel Chong hari ini untuk memberi keterangan mengenai dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wee Choo Keong, itu.
"Tidak ada lagi buat masa ini (beri keterangan). Setakat ini saya tidak terima apa-apa makluman daripada polis untuk hadir bagi memberikan keterangan mengenai dakwaan itu.
"Malah, buku kedatangan pelawat pejabat saya yang diambil polis sebelum ini untuk membantu siasatan masih belum dipulangkan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.
Ronnie diminta mengulas perkembangan siasatan dakwaan wujud Exco kerajaan negeri menggunakan pejabat mereka dengan aktiviti kongsi gelap.
Daniel dipanggil polis untuk memberikan keterangan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor di sini, kira-kira pukul 10.30 pagi ini.
Setakat itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram negeri, Ean Yong Hian Wah serta seorang pembantu tadbir kepada Ronnie telah memberi keterangan kepada polis pada 17 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Ronnie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Selangor menafikan pembabitannya dalam dakwaan berkenaan.
"Tidak logik jika kumpulan kongsi gelap gunakan pejabat Exco untuk adakan pertemuan antara mereka. Tidak ada... Saya fikir barangkali pejabat mereka (kongsi gelap) lebih canggih daripada pejabat Exco," ujarnya.
##

Tiada ulasan: