30 Oktober 2009

Nik Aziz puas hati 'petualang' dibincang

[Utusan - 30/10/09]
BACHOK 29 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpuas hati dengan keputusan mesyuarat khas yang diadakan semalam kerana masalah 'petualang' dalam parti itu yang merosakkan pakatan pembangkang dibincang secara mendalam.
Tanpa mengulas panjang mengenainya, beliau turut mengakui telah ditegur dalam mesyuarat tersebut.
Bagaimanapun beliau menggangap isu yang ditimbulkan olehnya berdasarkan tulisan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari telah selesai.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau turut berpuas hati dengan mesyuarat berkenaan walaupun cadangannya mengenai pembersihan dalam parti ditolak dan digantikan dengan seminar.
''Saya puas hati juga, mana boleh kita hidup dalam dunia ini orang terima pandangan kita belaka. Ada masa orang terima, ada masa orang tolak.
''Dalam mesyuarat itu, mereka berbincang dengan meluas bagaimana hendak menyelesaikan petualang-petualang dalam Pas sendiri yang menghalang pakatan pembangkang,'' katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Kampung Bakong dekat sini hari ini.
Nik Abdul Aziz menambah, melalui seminar yang menggantikan EGM itu, rakyat negara ini akan terasa bahawa Pas Pusat tidak duduk diam sahaja.
Malam tadi, satu mesyuarat khas diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan cadangan Nik Abdul Aziz supaya EGM diadakan bagi membersihkan pemimpin prokerajaan perpaduan di dalam parti itu.
##

Tiada ulasan: