27 Oktober 2009

Nik Aziz tak lagi relevan

[Utusan - 27/10/09]
BATU PAHAT 26 Okt. – Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT), Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz sebagai pemimpin yang tidak lagi relevan di kalangan generasi muda parti itu dan perlu mengundurkan diri serta-merta.
Menurut beliau, ini kerana cara pemikiran dan politik Nik Aziz telah ketinggalan zaman serta tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa terutama di kalangan kepimpinan generasi muda.
‘‘Ini terbukti apabila pengaruh Menteri Besar Kelantan itu semakin luntur di negeri yang dipimpinnya sehingga menyumbang kepada kemerosotan sokongan kepada Pas pada pilihan raya kecil Manek Urai, baru-baru ini,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata demikian selepas Majlis Deepavali Parlimen Batu Pahat, di Dewan Jubli Intan, di sini, malam tadi.
Ekoran itu, menurutnya, kini tiba masanya Nik Aziz mengundurkan diri secara terhormat dan tempatnya digantikan kepada pemimpin yang lebih berwibawa.
Mohd. Puad berkata, Nik Aziz juga harus sedar yang kepimpinannya tidak lagi diterima oleh majoriti rakyat Kelantan serta ahli Pas sendiri.
‘‘Ini terbukti apabila ramai orang Pas sudah tak mendengar cakapnya sehingga cadangannya untuk mengadakan satu Muktamar Agung Khas (EGM) tidak mendapat sokongan,” katanya.
Menurut beliau, EGM itu hendak diadakan semata-mata kerana Nik Aziz tidak dapat menerima keputusan muktamar parti itu baru-baru ini yang memilih Nasharudin Mat Isa sebagai Timbalan Presiden Pas.
‘‘Ini menunjukkan beliau tidak menghormati keputusan muktamar dan berharap EGM yang dicadangkannya itu akan menjatuhkan pemimpin yang telah diputuskan para perwakilan,” katanya.
Mohd. Puad berkata, beliau yakin perpecahan yang berlaku di peringkat pucuk pimpinan tertinggi Pas itu akan bertambah rumit kerana tindakan Nik Aziz yang mewujudkan dua puak dalam Pas.
##

Tiada ulasan: