30 Oktober 2009

PKR alami hakisan kepercayaan serius - Najib

[Utusan - 30/10/09]
KUALA LUMPUR 29 Okt. - Kemelut dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah membuktikan parti itu mengalami hakisan kepercayaan yang serius sehingga mendorong beberapa pemimpinnya meletakkan jawatan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sehubungan itu beliau percaya rakyat boleh membuat penilaian sendiri kenapa masalah ini boleh berlaku.
"Maknanya (itu menunjukkan) soal kurangnya keyakinan kepada parti itu semakin serius sehingga mendorong peletakan jawatan pemimpin mereka.
"Kenapa hilangnya keyakinan ini, saya pasti rakyat boleh buat penilaian mereka sendiri," katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Inovasi Negara di sini hari ini.
Perdana Menteri diminta mengulas peletakan jawatan dua pemimpin kanan PKR Sabah termasuk Naib Presiden parti itu, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang merupakan tamparan hebat kepada parti itu.
Tindakan Jeffrey meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR, anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan anggota biro politik kemudiannya diikuti seorang lagi anggota MPP parti itu, Christina Liew.
Sementara itu ditanya mengenai tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah meletak jawatan, Najib berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, ini kerana Abdul Khalid tidak mempunyai hak untuk membuat sebarang arahan sebaliknya terpulang kepada ADUN yang berkenaan untuk buat keputusan sendiri.
"Kita lihat dulu. Tak perlu nak cakap benda itu (sama ada Barisan Nasional sedia bertanding di DUN Pelabuhan Klang atau tidak).
"Ini kerana sama ada beliau (Badrul) nak letak jawatan atau tidak, adalah hak beliau untuk membuat keputusannya sendiri sama ada untuk meletakkan jawatan atau pun tidak," jelasnya.
##

Tiada ulasan: