30 Oktober 2009

Tindakan bijak - Noh

[Utusan - 30/10/09]
SHAH ALAM 29 Okt. - Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN) merupakan tindakan bijak serta dapat membawa kebaikan kepada rakyat di kawasannya.
Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ia juga menunjukkan Badrul Hisham telah sedar hanya BN satu-satunya parti yang dapat membantu membela rakyat di Pelabuhan Klang.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata, BN juga bersedia menghulurkan bantuan dan bimbingan kerana Badrul Hisham mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan pembangunan di kawasannya.
''Sebagai wakil rakyat Badrul Hisham membuat keputusan bijak kerana tahu tidak ada sesiapa boleh memaksanya melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat walaupun cuba disingkirkan oleh partinya sendiri.
''Beliau juga memilih jalan betul dengan keluar dari PKR dan menyokong BN. Jika selepas ini Badrul Hisham memerlukan peruntukan kerajaan BN untuk membangunkan kawasannya beliau boleh membuat permohonan dengan Pejabat Pembangunan Negeri Selangor yang merupakan agensi kerajaan BN di negeri ini," katanya ketika dihubungi petang ini.
Noh berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Badrul Hisham mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR serta merta dan menjadi wakil Bebas yang menyokong BN.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pula berkata, tindakan Badrul Hisham ini merupakan jalan penyelesaian terbaik walaupun dikaitkan dengan kontroversi tidak mampu memberikan khidmat kepada rakyat di kawasannya sebelum ini.
Katanya, masalah yang dihadapi oleh Badrul Hisham sebelum ini berkemungkinan berpunca daripada sikap serta pendirian parti yang diwakilinya sebelum ini yang lebih 'menghukum' keadaan ADUN itu dan bukan membantunya untuk menjadi seorang wakil rakyat yang baik.
''Bagi saya, keputusan Badrul Hisham adalah tepat untuk kebaikan dirinya dan rakyat kawasan Pelabuhan Klang.
Sementara itu, ADUN Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil pula menyambut baik keputusan Badrul Hisham yang disifatkannya mengutamakan kepentingan rakyat di Pelabuhan Klang.
Beliau juga gembira kerana Badrul Hisham kini menyokong kepimpinan BN dan sekali gus dapat bersama dengannya membela nasib rakyat di kawasan Klang.
##

Tiada ulasan: