24 November 2009

Abdul Ariffahmi akur arahan letak jawatan

Utusan - 24/11/09
KOTA BHARU 23 Nov. - Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman akur dengan arahan bapa mertuanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Beliau bagaimanapun menegaskan arahan peletakan jawatan tersebut hanya dikeluarkan hari ini dan bukannya seperti yang dinyatakan oleh beberapa blog sebelum ini.
Menurut Abdul Ariffahmi, beliau tidak meletakkan jawatan lebih awal kerana mendengar nasihat Nik Abdul Aziz yang merupakan Menteri Besar supaya terus kekal menjalankan tugasnya seperti biasa.
''Pertama sekali saya ingin menyatakan saya menerima keputusan ini dengan hati yang lapang dan sedar keputusan dibuat untuk menjaga nama baik kepimpinan, Pas dan juga nama baik kerajaan negeri Kelantan.
''Saya akan tengok rekod cuti saya, berapa hari ada, lepas itu saya akan kira, saya akan buat keputusan bila tarikh yang sesuai untuk saya lepaskan jawatan,'' katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas arahan yang dikeluarkan oleh bapa mertuanya supaya melepaskan jawatan sebagai CEO perbadanan tersebut.
Sebelum ini, semua pihak melihat beliau menjadi punca kepada semua kemelut yang timbul dalam Pas serta kerajaan negeri.
Menurut Abdul Ariffahmi, sebelum ini beliau ada merujuk kepada Nik Abdul Aziz berhubung desakan supaya meletak jawatan, namun Menteri Besar memintanya meneruskan tugas sebagai CEO seperti biasa.
Beliau menegaskan, peletakan jawatannya adalah disebabkan fitnah yang dilemparkan oleh pihak tertentu terutama penulis blog terhadap dirinya.
''Sebenarnya beberapa peguam sedang mengkaji semua tuduhan dan saya sedang menelitinya dan akan mendengar nasihat para peguam. Pada masa yang sesuai nanti kita akan lakukan apa yang patut.
''Saya nak ulang lagi, apa yang ditulis dalam blog tertentu sebelum ini bahawa saya telah diminta meletak jawatan dan rentetan itu arahan telah dikeluarkan dan saya tak terima arahan itu lalu pergi ke Kuala Lumpur merajuk, itu tak betul.
''Saya hanya terima arahan pada hari ini dan saya boleh terima keputusan ini dengan dada yang lapang dan saya akan sentiasa setia dan menghormati bapa mertua saya dan pemimpin kita semua," katanya.
Mengulas mengenai perancangan masa depannya katanya, beliau mungkin akan memulakan perniagaan.
/...

Tiada ulasan: