13 November 2009

Hasan Ali nafi arah Jais tangkap Dr Asri

Bernama - 13/11/09
SHAH ALAM: Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, hari ini menafikan beliau mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menangkap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah pada 1 November lalu. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam itu, juga menjelaskan pihak Istana, pejabat Menteri Besar dan pejabat Exco lain tidak terbabit dengan penahanan itu.
Beliau berkata, tangan ghaib yang didakwa wujud dalam kes tangkapan Mohd Asri itu merujuk kepada Peraturan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor (2003) dan Peraturan Tauliah (2008).
"Tiada tangan ghaib dari Istana, Pejabat Menteri Besar atau pejabat Exco (yang mengarahkan Mohd Asri ditangkap). “Tangan ghaib yang dimaksudkan ialah Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Peraturan Tauliah," katanya pada sesi penggulungan Bajet 2010 kerajaan negeri Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini. Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib mendakwa wujud tangan ghaib dalam kes penahanan Mohd Asri ketika menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah di sebuah banglo di Taman Seri Ukay pada 1 November lalu.
Hasan berkata, pegawai penguatkuasa Jais tidak membawa sebarang senjata ketika menahan Mohd Asri dan tangkapan itu juga dibuat secara berhemat serta berbudi bahasa. Katanya, pegawai penguatkuasa Jais terpaksa meminta bantuan 20 anggota polis sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan kerana ketika itu ada kira-kira 100 jemaah lain yang tidak memberi kerjasama.
"Dakwaan Mohd Asri dilayan seperti pengganas dan penjenayah tidak benar. Malah penguatkuasa tidak membawa gari tetapi hanya mengiringi Mohd Asri ke balai polis," katanya.
Hasan mengakui Peraturan Tauliah ada menyebut ulama dan mufti boleh dikecualikan dari syarat berkenaan tetapi perkataan “boleh” itu juga boleh menjurus kepada “tidak boleh”, bergantung kepada Jawatankuasa Tauliah.
/...

Tiada ulasan: