8 November 2009

Pas gagal perjelas kedudukan dalam pakatan

Bernama - 08/11/09
KUALA LUMPUR 7 Nov. - Mengikuti perjalanan seminar politik sehari Pas, membawa satu persepsi bahawa impian untuk parti itu bergabung secara rasmi dalam pakatan pembangkang tidak direstui semua pemimpin Pas.
Ini kerana apa yang kedengaran berkumandang di Markas Tarbiyah Pas Pusat di Taman Melewar di sini, adalah suara-suara yang mempertikaikan "tahaluf" (kerjasama politik) antara parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ada perwakilan yang mahu pucuk pimpinan parti menyatakan secara jelas sempadan kerjasama itu dan tidak kurang pula yang sanggup menggugurkan pemimpin mereka asalkan tidak wujud sistem dua parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.
Namun, rata-rata perwakilan yang hadir dilihat dapat menerima pandangan agar Pas sekadar menjadi anggota bersekutu.
Situasi itu dapat dilihat ketika pembentangan Kajian Mikro Kepercayaan Politik Malaysia oleh Prof. Madya Dr. Abu Hassan Abdullah dari Universiti Malaya (UM) yang merumuskan responden kalangan orang muda mahu Pas menjadi anggota bersekutu sahaja.
Ucaptama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga hanya menyatakan parti itu mahu mengukuhkan kerjasama dan pada masa yang sama membayangkan Pas sebagai parti yang mampu berdiri sendiri.
Pas menurut Abdul Hadi, paling berpengalaman dan bukan saja mampu menjadi pembangkang secara bersendirian tapi juga mentadbir negeri bersendirian.
Pandangan sedemikian boleh ditafsir sebagai mesej tersirat kepada rakan dalam pakatan bahawa Pas sebenarnya tidak memerlukan DAP dan PKR untuk menang pilihan raya.
Namun ucapan Abdul Hadi itu tidak seiring dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini, pernah menyatakan parti itu tidak mempunyai halangan untuk menyertai pakatan sebagai satu gabungan rasmi.
Tindakan sesetengah perwakilan mengecam pembentang-pembentang kertas kerja yang dijemput ke seminar itu mendorong Dr. Abu Hassan menegaskan bahawa mereka sekadar memberi pandangan dan tidak sewajarnya dibidas.
"Kenapa marah kepada pembentang? Ini primitif. Yang nak dibincangkan hari ini kecerdikan politik, sekarang bukan kurun ke-17. Kenapa kita anggap penulisan yang melukakan kita sebagai fitnah bukan informasi?" katanya.
Apabila diteliti perbahasan oleh perwakilan yang terdiri daripada pemimpin akar umbi, tidak keterlaluan jika dirumuskan masih ramai yang tidak jelas dengan kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang.
Sehingga kini juga Abdul Hadi dan pemimpin tertinggi parti belum memberikan kepastian menerusi isu itu.
Malah, seminar hari ini juga tidak menghasilkan resolusi yang dapat memberi jawapan kepada isu itu sekalipun menegaskan hasrat untuk mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Barangkali seperti pandangan beberapa pemerhati politik sebelum ini, Pas sebenarnya terikat dengan asas penubuhan parti iaitu menegakkan perjuangan Islam yang sudah pasti tidak diterima oleh DAP dan PKR.
/...

Tiada ulasan: