25 November 2009

Pas Selangor tak terima sebarang surat letak jawatan: Hasan

Bernama - 24/11/09
SHAH ALAM: Pas Selangor tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada mana-mana pemimpin sayap parti itu seperti yang didakwa sesetengah pihak, kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.
Beliau berkata Pas Selangor berada dalam keadaan kukuh dari peringkat bawahan sehingga peringkat kepimpinan tanpa sebarang masalah termasuk hal berkaitan pengurusan serta aktiviti yang dirancang.
"Kita tidak ada masalah, malah saya boleh katakan Pas sekarang berada dalam keadaan yang sangat kukuh berbanding sebelum ini. "Semua aktiviti kita berjalan seperti biasa tanpa satupun yang tertangguh mahupun ditangguhkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kemudahan Awam dan Lembu Korban oleh Worldwide Holdings Bhd di sini hari ini.
Mengenai surat tunjuk sebab yang dihantar oleh Jawatankuasa Disiplin Pas kepadanya, Hasan berkata, beliau sudah menerimanya malah sudah menjawab kepada jawatankuasa itu Ahad lalu.
Surat tunjuk sebab itu diberikan kepada Hasan bagi membolehkan siasatan dilakukan berhubung dakwaan yang dilemparkan terhadap Pas Selangor melibatkan perkara seperti Pas negeri itu dikatakan gagal memantapkan kerjasama antara pakatan pembangkang negeri selain menyokong usaha kerajaan perpaduan antara Umno-Pas. - Bernama

Tiada ulasan: