24 November 2009

Petanda Pas alami krisis tenat

Utusan - 24/11/09
CYBERJAYA 23 Nov. - Desas desus mengenai hasrat Exco kanan kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa mahu meletakkan jawatan parti dan kerajaan petanda kegawatan politik sedang berlaku dalam Pas.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya percaya Pas menghadapi krisis kepimpinan yang tenat seperti terjadi dalam parti pembangkang lain.
Beliau berkata, meskipun perkara itu dinafikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi semakin banyak masalah terdedah di kalangan khalayak umum.
"Itu petanda tentang kegawatan politik yang banyak berlaku dalam parti pembangkang termasuk Pas dan yang jelas ia membuktikan ada krisis yang tenat.
"Pemimpin Pas tidak mahu menunjukkan mereka bermasalah tetapi ternyata daripada kenyataan pemimpin-pemimpin (Pas), mereka ada masalah yang besar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan bangunan Pusat Perkhidmatan Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di sini hari ini.
Laporan muka depan Mingguan Malaysia semalam menyiarkan mengenai Husam yang dikatakan mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan negeri.
Hasrat itu bagaimanapun tidak dipersetujui Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar dan Husam dipercayai diberi cuti selama lima hari bermula semalam untuk berehat kerana masalah tulang belakang.
Tindakan Husam melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan negeri dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.
/...

Tiada ulasan: